Palang Merah mohon maaf poster keselamatan ‘super rasis’

Palang Merah mohon maaf poster keselamatan ‘super rasis’

Poster itu menunjukkan kanak-kanak yang digambarkan nakal berkulit hitam, kanak-kanak kulit putih pula bersikap “cool”.

Bahasa, perkauman, Palang Merah, poster.

PETALING JAYA:
Pasukan Palang Merah memohon maaf susulan isu poster peraturan keselamatan kolam renang yang tersebar di Twitter dan dikecam kerana ia dikatakan “super rasis”.

Poster itu menunjukkan sekumpulan kanak-kanak dalam bentuk kartun melakukan pelbagai perkara yang boleh dan tidak boleh di kolam renang, ditampal di bangunan Pusat Rekreasi dan Kolam Renang Salida di Colorado.

CNN melaporkan, seorang pengguna Twitter memuat naik gambar poster itu yang kemudiannya menjadi perdebatan sama ada ia menyinggung atau tidak.

“Be Cool, Follow the Rules” (Jadi cool, ikut peraturan) – itu yang tertulis di poster berkenaan.

Di bawah ayat itu, ada lukisan menunjukkan beberapa kanak-kanak, ada yang sedang berenang dan ada juga berada di tepi kolam.

Tanda anak panah merah digunakan kepada kanak-kanak tertentu untuk menunjukkan sikap “tidak cool” dan anak panah hijau ditunjukkan kepada kanak-kanak yang bersikap “cool”.

Secara kebetulan dua kanak-kanak yang menunjukkan sikap “cool” berkulit putih. Ada gambar kanak-kanak perempuan berambut perang tersenyum ketika hendak ke papan junam.

Majoriti kanak-kanak yang bersikap “tidak cool” ialah mereka yang bukan berkulit putih. Seorang kanak-kanak berkulit hitam kelihatan menolak kanak-kanak lain, seorang lagi berlari dan yang ketiga terjun ke dalam kolam.

Mereka yang mempertikaikan poster itu berkata poster itu menggambarkan kanak-kanak kulit hitam melakukan aktiviti berbahaya, sementara sikap “cool” digambarkan dilakukan mereka berkulit putih.

“Biar betul @RedCross? Kanak-kanak putih sikapnya ‘cool’; kanak-kanak lain digambarkan nakal/tidak ‘cool’ #racism,” tulis seorang pengkritik.

Seorang wanita menulis di Twitter berkata poster itu contoh institusi perkauman.

Tetapi ada juga yang tidak mengerti apa yang dikalutkan sangat dengan poster itu.

Namun, Palang Merah dengan cepat memohon maaf, membalas kepada tweet asal dan kemudian mengeluarkan kenyataan.

“Kami meminta maaf atas segala salah faham, kerana ia bukan niat kami untuk menyinggung sesiapa. Sebagai organisasi kemanusiaan tertua dan terbesar di negara ini, kami komited kepada kepelbagaian dalam semua yang kami lakukan, setiap hari,” tulis Palang Merah di laman webnya.

Organisasi itu juga berkata ia menarik balik imej itu daripada laman webnya dan aplikasi, serta meminta poster itu ditanggalkan dari kawasan kolam renang.

Pengurusan kolam renang Salida juga menulis di Twitter menyatakan ia sudah menanggalkan poster itu.

Poster itu sebenarnya ialah sebahagian daripada kempen akuatik Palang merah 2014.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.