SKMM ambil keterangan Adun PAS berkait hantaran insiden babit Sultan Perak

SKMM ambil keterangan Adun PAS berkait hantaran insiden babit Sultan Perak

Ia berkata dakwaan wanita Cina yang menaiki pentas ketika Hari Kebangsaan di Perak adalah palsu dan berisiko mencetuskan ketegangan kaum.

questioning session MCMC
Adun Manjoi Hafez Sabri (berpakaian hitam) memberikan keterangannya di Bukit Aman pada Selasa. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil keterangan Adun Manjoi daripada PAS, Hafez Sabri, berhubung hantaran di media sosial mengenai insiden pelanggaran keselamatan membabitkan Sultan Nazrin Shah pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak.

SKMM menyifatkan ia sebagai hantaran palsu berunsur perkauman, apabila mendakwa wanita yang menaiki pentas ketika acara 31 Ogos lalu berbangsa Cina.

“Seperti yang telah disahkan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ini adalah tidak benar dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

SKMM berkata, keterangan Hafez diambil di Bukit Aman semalam dengan kerjasama polis.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman maksimum denda RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

“SKMM menegaskan penyebaran kandungan palsu dan berbaur perkauman merupakan kesalahan serius yang mengancam keharmonian dan ketenteraman awam.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa memastikan kesahihan maklumat sebelum menghasilkan atau berkongsi sebarang kandungan di media sosial,” katanya.

Polis sebelum ini menjelaskan wanita yang menaiki pentas dan berlari ke arah Sultan Nazrin adalah wanita Melayu berusia 41 tahun yang memiliki sejarah rawatan psikiatri.

Wanita itu ditahan selepas menaiki pentas dari bahagian tepi ketika lagu negeri Perak dimainkan.

Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata wanita tersebut direman hingga Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mendatangkan kecederaan parah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.