Kurang 10% terima tawaran tukar beg udara Honda

Kurang 10% terima tawaran tukar beg udara Honda

Tiga kali notis dihantar kepada pemilik kereta Honda bermula tahun lepas, namun kurang 10% pengguna demikian.

honda_airbag_600

PETALING JAYA:
Sikap pengguna yang memandang remeh isu keselamatan bagi menggantikan inflator beg udara Takata di bahagian penumpang dan pemandu merupakan antara sebab penggantian tidak dilakukan.

Jurucakap sebuah pusat servis dan jualan Honda terbesar di Lembah Klang yang enggan namanya dikenali berkata, walaupun sudah tiga notis panggilan balik dihantar kepada pemilik bermula tahun lepas, jumlah yang memberi respon tidak sampai 10%.

“Kebanyakan pemilik masih tidak memahami kepentingan (menukar beg udara Takata) menyebabkan kurang dari 10% pengguna yang datang menukar beg udara walaupun sudah tiga kali notis dihantar kerana mereka menganggap perkara itu sebagai remah temah.

“Namun lepas jadi viral soal beg udara ini (apabila seorang wanita maut dipercayai akibat serpihan besi yang terpelanting daripada beg udara di stereng pada Ahad), ia mula memberi kesedaran kepada pengguna sehingga ramai yang mula sedar pentingnya menukar beg tersebut.

“Kita juga bukan nak salahkan orang lain tetapi biasalah sudah menjadi budaya orang Malaysia apabila berlakunya sesuatu baru nak bertindak,” katanya kepada FMT.

Ahad lepas, seorang suri rumah terbunuh di tempat kejadian dalam nahas membabitkan kereta Honda City mangsa dan sebuah Mercedes Benz. Siasatan mendapati ia berpunca dari serpihan besi yang terpelanting daripada beg udara di stereng kereta terkena dadanya.

Ini adalah kematian keempat membabitkan beg udara Honda dalam tempoh beberapa tahun ini.

Kemalangan itu berlaku tiga hari selepas Honda Malaysia memanggil balik lebih 147,894 unit kenderaannya bagi menggantikan inflator beg udara bahagian penumpang hadapan, Khamis lalu.

Panggilan balik itu membabitkan Honda Accord keluaran 2003-2011, City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).

Mengulas lanjut, jurucakap itu turut kesal tindakan sesetengah pihak mensensasikan sesuatu isu walaupun tanpa bukti cukup dan sahih, sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap Honda berhubung kes yang berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.