Harussani: Syirik cium ‘barang Nabi’

Harussani: Syirik cium ‘barang Nabi’

Program di Alor Setar minggu lalu menampilkan artifak kononnya milik Nabi Muhammad seperti bekas tapak kaki dan rambut baginda.

mufti-perak

KUALA LUMPUR:
Perbuatan mencium atau menjunjung objek yang didakwa barangan peninggalan Rasulullah boleh membawa kepada syirik (menyekutukan Allah), kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

“Umat Islam tidak usah bertabarruk dengan peninggalan Rasulullah,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Beliau mengulas program “Latunan Mahabbah Rasulullah” di Alor Setar, Jumaat lalu, di mana beberapa artifak kononnya milik Nabi Muhammad dipamerkan, seperti bekas tapak kaki dan rambut baginda.

Antara penganjur program itu ialah Majlis Bandaraya Alor Setar dan penerbit Al-Quran, Yayasan Restu.

“Kalau ada pameran pun, pergi tengok sahaja, tidak perlu buat macam itu sekali kerana boleh membawa kepada syirik.

“Lagipun kita tidak tahu sama ada sahih atau tidak barang-barang peninggalan Rasulullah itu. Jadi tidak perlu berbuat begitu, banyak lagi amalan dan sunah Rasulullah yang boleh diikuti,” kata Harussani.

Bagaimanapun, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamed Al-Bakri, yang berkata acara seumpama itu dibolehkan dengan syarat artefak tersebut tidak dapat dibuktikan kesahihannya oleh sejarawan.

“Saya mengalu-alukan mana-mana tokoh yang dapat mengkaji dan menekuni isu janggut Rasulullah SAW atau rambutnya yang dimansubkan kepada Rasulullah SAW pada masa kini adakah benar atau sebaliknya, dengan kajian yang sahih dan dipercayai untuk meleraikan sebarang kekusutan dalam penisbahan ini,” katanya.

FMT sedang berusaha mendapatkan reaksi Yayasan Restu berhubung isu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.