Beliau menjelaskan perkara zon semula tanah itu tiada kaitan dengan isu Taman Manggis.
Sebaliknya, ia berkenaan permohonan zon semula tanah oleh Magnificent Emblem Sdn Bhd, dimana Phang Li Koon salah seorang pemiliknya. Permohonan itu ditolak oleh majlis perbandaran, katanya sebelum ini.
Li Koon merupakan bekas tuan tanah kepada Guan Eng yang membeli sebuah banglo darinya tahun lalu.
“Kami DAP Pulau Pinang menganggap dakwaan itu direka untuk membunuh kerjaya politik saudara Guan Eng.
“Kita menyeru semua penyokong DAP supaya bertenang mengharungi ribut melanda dan tunggu kata putus tindakan susulan selepas kami bermesyuarat,” kata Kon Yeow kepada pemberita di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Northam malam tadi.
Kon Yeow berkata Guan Eng didakwa kerana meluluskan zon semula sebidang tanah pertanian di Balik Pulau kepada tanah perumahan selaku Ketua Menteri.
Sebelum dibawa pergi oleh SPRM, Guan Eng berpesan kepada Kon Yeow supaya tabah menghadapi dugaan ini.
“Beliau beritahu saya supaya tempuhi krisis politik ini dan pastikan kerajaan negeri kekal utuh,” katanya.
Guan Eng akan didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana meluluskan permohonan zon semula tanah milik syarikat Phang Li Koon, Magnificent Emblem dan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana membeli hartanah pada harga bawah nilai pasaran.
Seksyen 165 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa barangsiapa, yang menjadi penjawat awam menerima sesuatu benda yang berharga dengan suatu balasan yang ia ketahui tidak mencukupi, daripada seseorang yang ia ketahui ada mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya, melakukan kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.