Grab akan bantu pemandu mangsa keganasan

Grab akan bantu pemandu mangsa keganasan

"Di masa hadapan, kami berharap semua pihak berkenaan supaya bersuara secara aman."

grab car

PETALING JAYA:
Penyedia perkhidmatan perkongsian kereta Grab mengecam keganasan yang dikenakan keatas pemandunya.

Pengurus Negara Grab Malaysia Jaygan Fu berkata syarikat tidak memaafkan sebarang bentuk keganasan dan menyeru keselamatan pemandu dan penumpang diutamakan.

“Di masa hadapan, kami berharap semua pihak berkenaan supaya bersuara secara aman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seorang pemandu Grab dilaporkan diserang di luar Mid Valley Megamall pagi semalam, oleh pemandu-pemandu teksi yang berang dengan kehadirannya dalam kawasan mereka.

Mangsa, seorang lelaki berusia 35 tahun, diserang ketika sedang mengambil dua penumpang daripada ruang legar North Court pusat beli-belah itu.

“Kita memberi sokongan penuh dan membantu mangsa mengambil langkah-langkah yang perlu termasuk pemeriksaan kesihatan dan baikpulih kenderaan,” kata Jaygan.

Pemandu Grab dalam keadaan waspada apabila pemandu teksi berang kerana kehilangan pelanggan sejak perkhidmatan perkongsian kereta dibenarkan beroperasi.

Baru-baru ini, polis menahan seorang pemandu teksi yang menyerang seorang pemandu Uber kerana mengambil seorang warganegara Iran di KL Sentral.

Polis kemudian memberi amaran kepada pemandu teksi supaya jangan bertindak sesuka hati.

Menurut Jaygan, perkhidmatan Grab membantu pemandu teksi yang menyertai jaringan mereka di rantau ini meraih peningkatan pendapatan sebanyak 30% hingga 300%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.