Menurut The Jakarta Post, ia bukan hanya aktiviti beli-belah Hari Raya yang biasa tetapi didorongi promosi jualan besar-besaran serta penerimaan bonus perayaan yang dikenali Tunjangan Hari Raya (THR).
Trafik yang lazimnya reda pada waktu malam menjadi lebih sangat aktif apabila orang ramai memilih menghabiskan THR dengan membeli-belah pada Jualan Tengah Malam yang menawarkan diskaun terhebat ke atas barangan berjenama.
Irma Puspitayani dan suami misalnya, sanggup berjalan dari Cibubur sebuah pekan di Jakarta Timur ke Jualan Tengah Malam di Grand Indonesia di pusat bandar raya ibu kota itu.
Dia yang mahu membeli jam tangan rela menunggu dalam barisan panjang dan membeli jam tangan idamannya dengan diskaun 70 peratus, Rp 1.7 juta (US $ 127,50) bagi dua jam tangan, berbanding harga asal, Rp 5 juta.
“Saya sangat teruja dan gembira dapat mengunjungi Jualan Tengah Malam. The Urban Icon jarang memberi diskaun,” katanya, yang merujuk kepada outlet yang baru dikunjungi.
Berbeza dengan Irma, Feni Fitriani, 29, kecewa kerana dia bukan sahaja tidak dapat mencari tawaran yang memuaskan dirinya dan suami malah berdepan dengan kesesakan melampau.
“Barisan untuk mencuba pakaian, sangat gila. Ia mengambil masa 15 minit untuk akhirnya sampai ke bilik persalinan, “katanya.
Feni yang turut membawa THR untuk berbelanja akhirnya membeli beberapa helai pakaian untuk suaminya pada potongan harga 50 peratus.
“Saya tidak membeli apa-apa untuk diri saya tetapi agak menyeronokkan untuk membeli-belah sehingga tengah malam, “katanya.
Pengerusi Persatuan Pusat Beli-Belah Indonesia (APPBI) Jakarta, Ellen Hidayat berkata Jualan Tengah Malam adalah salah satu program paling popular sepanjang Jakarta Great Sale (JGS) yang bermula 3 Jun hingga 17 Julai.
Ia diadakan sempena sambutan ulang tahun bandar raya tersebut.
Sebanyak 24 pusat beli-belah ambil bahagian dalam program ini dan Jualan Tengah Malam ini dilakukan dalam dua fasa, minggu lepas dan minggu akan datang.
“Jualan Tengah Malam tahun ini diadakan tepat pada masanya iaitu sewaktu pelanggan baru sahaja menerima elaun percutian, THR dan sewaktu bulan puasa,” kata Ellen.