Penguat kuasa disaran guna khidmat penggodam kesan pedofil

Penguat kuasa disaran guna khidmat penggodam kesan pedofil

Akhbar Satar berkata, kaedah penyiasatan tradisional seperti soal siasat secara bersemuka tidak lagi berkesan dalam era globalisasi ini.

Akhbar Satar

KUALA LUMPUR:
Pihak berkuasa disaran menggunakan khidmat penggodam profesional di Malaysia untuk mengesan dan mengenal pasti aktiviti jenayah terancang seperti pedofil di negara ini.

“Malaysia mempunyai banyak penggodam beretika dan tidak salah jika agensi penguat kuasa mendapatkan khidmat mereka untuk selesaikan isu ini,” kata Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi Universiti HELP, Datuk Akhbar Satar.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia bagi mengesan aktiviti pedofil.

Akhbar berkata, mereka yang terbabit dalam aktiviti pedofilia menggunakan platform Internet, iaitu ‘dark web’ yang merupakan jaringan sejagat (wwww) dengan jaringan tindihan menggunakan Internet awam menerusi perisian tertentu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Segala aktiviti seperti gambar dan video mangsa pedofil dimasukkan ke dalam ‘dark web’ dan banyak lagi aktiviti yang menyalahi undang-undang dibuat menerusi talian itu.

“Oleh itu, kaedah penyiasatan tradisional seperti soal siasat secara bersemuka tidak lagi berkesan dalam era globalisasi ini,” katanya kepada Bernama selepas program Ruang Bicara Bernama News Channel bertajuk “Pedofil: Awasi Anak Anda” malam tadi.

Pada 5 Jun lepas, sebuah mahkamah di London menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Richard Huckle selepas didapati bersalah terhadap 71 pertuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.

Media Britain melaporkan Huckle, 30, dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup dan akan meringkuk dalam penjara sekurang-kurangnya 23 tahun atas jenayah yang dilakukannya terhadap mangsa yang berasal dari keluarga miskin berusia enam bulan hingga 11 tahun.

Huckle mengaku bersalah terhadap 71 kesalahan dan polis menemui lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014.

Baru-baru ini, media Britain melaporkan jurugambar bebas dari Britain itu mungkin melakukan penderaan seksual melibatkan 200 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014.

Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kebanyakan mangsa daripada golongan miskin di Kuala Lumpur.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.