Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata pelabur memerhatikan etika bekerja rakyat sesebuah negara sebelum melabur.
“Dengan mempertahankan hak pekerja tidur semasa waktu bekerja, menyebabkan nama Malaysia buruk,” katanya kepada FMT.
Shamsuddin mengulas Nufam yang membidas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Christoph Mueller yang menamatkan 6,000 pekerja di syarikat penerbangan itu kerana ramai tidak bekerja, malah ada yang tidur di hangar.
Nufam berkata Christoph sebagai orang luar tidak faham budaya kerja rakyat Malaysia.
Mueller ketika ditemu bual syarikat penyiaran Jerman, Deutsche Welle berkata beliau mendapati ramai pekerja tidak bekerja semasa beliau mengambil alih jawatan CEO di Malaysia Airlines.
Beliau dipetik sebagai berkata lebih 20,000 pekerja syarikat penerbangan itu tidak bekerja, malah ada kakitangan tidur di hangar. Atas sebab itu, jelasnya, khidmat 6,000 pekerja terpaksa ditamatkan.
Shamsuddin berkata, tidur semasa waktu bekerja bukanlah etika bekerja rakyat Malaysia.
“Sudah pasti bukan cara Malaysia. Majikan tidak boleh terima mana-mana pekerja yang tidur semasa bertugas. Tindakan disiplin boleh diambil terhadap kakitangan itu. Tidur semasa bertugas salah laku yang besar dan boleh membawa kepada pemecatan,” katanya.
“Nufam perlu menjelaskan apa yang mereka maksudkan. Kakitangan boleh tidur semasa waktu rehat. Itu terpulang pada mereka. Pada waktu rehat mereka boleh buat apa saja. Tetapi tidak pernah tertulis mereka boleh tidur semasa waktu bekerja.”
Lazimnya rakyat Malaysia bekerja lapan jam dengan waktu rehat selama sejam.
Katanya, kakitangan di negara maju lebih tekun bekerja jika dibandingkan dengan tabiat bekerja rakyat Malaysia.
“Sekiranya mereka diminta menyelesaikan kerja dalam masa dua jam, mereka akan akur. Tidak seperti di sini. Kakitangan akan melengah-lengahkan supaya dapat tuntut kerja lebih masa.”
Beliau berkata, tabiat seperti itu menambah kos majikan kerana kakitangannya suka bertangguh-tangguh kerja.
Maka, katanya, majikan terpaksa menggaji lebih ramai orang daripada yang diperlukan kerana negara belum mahu menggunakan produk berteknologi tinggi.
“Jika kita mahu mengurangkan tenaga kerja, kita perlu pakai teknologi, yang kita masih belum lakukan.”
Suatu masa dulu majikan dilaporkan berkata lebih murah untuk menggaji pekerja asing daripada negara kurang membangun seperti Bangladesh dan Indonesia. Kini, terdapat lebih 2 juta pekerja asing berdaftar dan pekerja asing tanpa izin pada jumlah yang sama.