Di samping itu, PSM juga berkata majikan akan mengurangkan faedah dan elaun lain, serta membuang pekerja sebagai langkah menekan kerajaan tidak melaksanakan gaji minima.
“Maka kami berharap Jabatan Tenaga Kerja bersedia untuk mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat yang tidak mengamalkan gaji minima ataupun memanipulasikan pelaksanaan, memandangkan taktik, alasan dan amalan mereka dapat diduga,” kata M. Sivaranjani dari Biro Pekerja PSM dalam kenyataanya hari ini.
Beliau turut mengulangi pendirian PSM sebelum ini yang angka gaji minima itu tidak mencukupi dan lebih rendah daripada jumlah dicadangkan Bank Dunia sebanyak RM1,100.
Mei lalu, PSM bersama 115 pertubuhan dan kesatuan sekerja menuntut gaji minima ditetapkan pada RM1,500.
“Kami juga menegaskan bahawa gaji minima yang naik hanyalah 11% berbanding dengan kos hidup yang naik sebanyak 30%. Kenaikan gaji minima ini juga jauh jauh lebih rendah daripada kenaikan untuk ahli Parlimen pada tahun 2015 sebanyak 140% (daripada RM6,508 hingga RM16,000),” kata Sivaranjani.
Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) berkuat kuasa 1 Julai ini ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja.
Kadar bulanan ditetapkan RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak serta Labuan.
Dasar gaji minima pertama kali diperkenalkan pada Januari 2013, tetapi ditangguhkan beberapa kali atas permintaan majikan.