Lagi laporan polis terhadap Mahathir!

Lagi laporan polis terhadap Mahathir!

Kumpulan NGO pro-BN membuat laporan polis berhubung dakwaan penyokong Najib makan 'dedak'.

Taubat-Tun-Mahathir
SRI PETALING: Satu lagi laporan polis dibuat terhadap pemimpin kumpulan penentang Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, kali ini berhubung dakwaan penyokong Datuk Seri Najib Razak makan ‘dedak’.

Laporan dibuat di Balai Polis Seri Petaling hari ini oleh wakil badan-badan bukan kerajaan pro-Barisan Nasional (BN).

“Demi Allah, satu sen kami tidak pernah menerima bentuk suapan dari Najib,” kata Presiden Pakatan NGO Pro-BN Zulkarnain Mahdar kepada pemberita seusai membuat laporan.

Dr Mahathir 7 Jun menerusi blognya bertajuk ‘Kebebasan Bersuara’ mendakwa mereka yang menyokong Najib adalah pemakan dedak.

Zulkarnain berkata tuduhan Mahathir itu telah menyebabkan fikirannya bercelaru kerana orang-ramai melihat para penyokong Najib sebagai golongan penerima habuan daripada BN.

“Kami dan jutaan ahli Umno bukan seperti yang Tun M dakwa iaitu pemakan dedak,” katanya membela nama baiknya, “ketika ini telah timbul persepsi masyarakat yang dimulakan oleh Dr Mahathir, bahawa jika ada yang menyokong Najib bermakna orang itu makan dedak.”

Ketika ditanya samada mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas presiden UMNO itu, Zulkarnain berkata tindakan saman tidak akan dibuat setelah dinasihati veteran-veteran Umno.

Sebelum ini, bekas perdana menteri itu disiasat untuk beberapa dakwaan antaranya jenayah fitnah melalui catatan blog, ucapan di perhimpunan Bersih 4 dan kenyataan “tahanan rumah” melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis telah membuka lima kertas siasatan terhadap Mahathir, sebahagiannya telah diserahkan kepada Peguam Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.