Jangan ekstrem terhadap insan berlainan orientasi seksual – G25

Jangan ekstrem terhadap insan berlainan orientasi seksual – G25

Kerana Islam juga mengharamkan pembunuhan sewenang-wenangnya, kata kumpulan itu

g25

PETALING JAYA:
Kumpulan tokoh ternama Melayu menggesa rakyat Malaysia beragama Islam supaya meninggalkan sikap ekstrem dan tidak bertoleransi terhadap insan berlainan orientasi seksual.

G25 membuat gesaan itu dalam satu kenyataan yang mengecam pembunuhan kejam dan tanpa provokasi 49 nyawa di sebuah kelab malam sesama jenis di Orlando, Amerika Syarikat 12 Jun lepas.

Menegaskan bahawa Islam dan Al-Quran mengharamkan hubungan sesama jenis, G25 berkata mengambil nyawa sewenang-wenangnya juga diharamkan oleh Islam, sambil memetik petikan surah Al-Maidah bagi menyokong hujah.

Kumpulan itu menegaskan demikian apabila mendapati beberapa kenyataan oleh rakyat Malaysia beragama Islam menyokong pembunuhan itu.

“Kita menggesa mereka supaya mendakap pandangan sejagat bahawa golongan itu juga adalah manusia seperti orang lain, dan mereka juga punyai perasaan yang sama seperti orang lain iaitu untuk hidup dan melalui kehidupan mereka secara aman,” kata G25.

Dalam konteks Malaysia, G25 mahu umat Islam Malaysia menyedari bahawa golongan orientasi seksual berlainan turut mempunyai hak dan kebebasan yang sah yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Maka menjadi tanggungjawab undang-undang untuk memberi mereka perlindungan yang semua diberikan kepada semua warganegara, daripada sebarang tindakan ganas,” kata kumpulan itu.

Dalam kejadian itu, seorang warganegara Amerika Syarikat, Omar Mir Seddique Mateen masuk ke kelab Pulse dan menembak mati 49 orang dan mencederakan 53 lain.

Omar mati ditembak dalam kejadian tembak-menembak dengan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.