Ratu cantik buat kutipan derma untuk pelarian Syria

Ratu cantik buat kutipan derma untuk pelarian Syria

Wang tersebut akan disalurkan untuk keperluan kebersihan, sanitasi, makanan dan mewujudkan persekitaran yang lebih baik kepada kanak-kanak supaya mereka dapat membesar dalam suasana selamat dan sihat.

Deborah-Henry
KUALA LUMPUR: Bersempena bulan Ramadan, bekas ratu cantik Miss Malaysia Universe, Deborah Henry melancarkan kutipan derma peribadi di bawah World Vision Malaysia untuk mengumpul wang kepada pelarian warga Syria yang mencari perlindungan di Lubnan.

Aktivis sosial itu menyasar mengumpul RM50,000 justeru, menggesa orang ramai untuk menderma seiring dengan semangat memberi pada bulan Ramadan.

“Wang tersebut akan disalurkan untuk keperluan kebersihan, sanitasi, makanan dan mewujudkan persekitaran yang lebih baik kepada kanak-kanak supaya mereka dapat membesar dalam suasana selamat dan sihat,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Publika hari ini.

Henry, yang juga pengasas bersama Fugee School memberitahu dana yang dikumpul itu turut digunakan untuk kanak-kanak Syria dan keluarga mereka yang tinggal di Lembah Bekaa di Lebanon.

Ini kerana menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), komuniti khemah sahaja sudah hampir 300,000 orang pelarian.

“Terdapat hampir 60 juta pelarian di seluruh dunia sekarang, dua kali penduduk Malaysia. Kini, dengan krisis yang dihadapi Syria kita mempunyai lebih daripada dua juta kanak-kanak yang tidak bersekolah. Mereka terpaksa melalui segala-galanya yang tidak sepatutnya dilalui seorang kanak-kanak.

“Kanak-kanak dan keluarga telah kehilangan rumah dan kehidupan mereka. Mereka pernah menikmati kehidupan seperti kita, mempunyai pekerjaan, menguruskan perniagaan dan keluarga untuk disambut setiap hari. Kini, semuanya tinggal kenangan.

“Tiada siapa yang memilih untuk menjadi pelarian,” ujarnya.

Henry pertama kali melawat Lebanon pada tahun 2013 akan melawat sekali lagi pada 12 Julai ini untuk menyerahkan sumbangan kepada pelarian.

“Krisis Syria kini pada tahun keenamnya dan hampir setengah juta orang yang terkorban dalam perang saudara itu.

“Hari ini, kita berada di sini demi kanak-kanak. Jika kita tidak melakukan sesuatu tiada siapa yang akan dan kesannya, kanak-kanak ini akan terus menderita dan tidak mempunyai apa-apa untuk berpaut,” katanya.

Usaha ini dilancarkan pada hari ini, 20 Jun yang juga Hari Pelarian Sedunia, sebagai mengingati berjuta-juta pelarian yang lari meninggalkan negara asal untuk mencari tempat yang lebih selamat.

Pergolakan di Syria dicetuskan sebagai reaksi tindakan kerajaan terhadap pembangkang dan merupakan sebahagian daripada Arab Spring pada tahun 2011.

Kini ia menjadi konflik pelbagai pihak sehingga militan, kumpulan agama dan etnik memberontak menentang kerajaan dan menyebabkan kira-kira 11 juta rakyat Syria menjadi pelarian.

Rakyat Malaysia yang mahu menyalurkan bantuan derma, boleh berbuat demikian di bit.ly/WVM-Deborah4Syria di laman web rasmi World Vision Malaysia, di bawah kolum, “Dana Deborah Henry untuk Pelarian Syria”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.