Lebih 3,500 telah undi di dua PRK setakat 9 pagi

Lebih 3,500 telah undi di dua PRK setakat 9 pagi

Budiman dan Mastura juga telah selesai menjalani tangggungjawab sebagai pengundi di kawasan Parlimen masing-masing.

PRK kuala kangsar

KUALA KANGSAR:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, seramai 11% daripada 32,632 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka di PRK Kuala Kangsar dalam tempoh sejam pertama hari ini.

Calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin pada jam 8.45 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abd Rahim Hanafi berkata, seramai 3,000 anggota termasuk pegawai ditugaskan untuk mengawal keadaan pada hari pengundian hari ini.

“Kami mula tugas sejak 6 pagi. Mereka ditempatkan di lokasi-lokasi yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.

“Sejak 8 pagi tadi, saya dapati pengundi-pengundi keluar mengundi dalam keadaan baik,” katanya.

Di Sungai Besar pula, SPR memaklumkan 10% daripada 42,365 pengundi yang layak telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 9 pagi ini.

Calon BN, Budiman Mohd Zohdi yang merupakan satu-satunya calon bertanding di PRK Sungai Besar yang layak membuang undi menjalankan tanggungjawabnya di pusat mengundi daerah (PDM) Sungai Limau.

Tepat jam 8.40 pagi, Budiman ditemani isterinya, Normah Aida; bapanya, Mohd Zohdi Abdullah dan ibu, Fatona Saiman tiba di PDM itu.

Bagaimanapun, hanya Budiman bersama ayah dan ibunya yang layak membuang undi, manakala isterinya bukan pengundi tempatan.

“Saya agak sibuk sikit pada pagi ini kerana saya bercadang melawat semua pusat mengundi hari ini.

“Alhamdulillah cuaca pun baik, saya risau juga kerana semalam seharian hujan,” katanya selepas membuang undi.

Sementara itu, warga emas berusia 107 tahun, Asmah Hassan yang hanya tahu berbahasa Jawa dan berkerusi roda ditemani cucu turut menjalankan tanggungjawabnya di PDM sama.

PRK Kuala Kangsar menyaksikan Mastura dicabar Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah); Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Manakala PRK Sungai Besar pula menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Budiman dan calon PAS, Dr Abdul Rani Osman serta Azhar Abdul Shukur (Amanah).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.