Tak perlu lagi seberang sungai, teruja tunggu jambatan Manong

Tak perlu lagi seberang sungai, teruja tunggu jambatan Manong

Jambatan itu akan memendekkan perjalanan, memacu ekonomi, menyediakan jalan perhubungan yang selesa dan menjamin keselamatan penduduk.

Manong
KUALA KANGSAR: Sudah terlalu lama penduduk Kampung Seberang Manong di sini dan sekitarnya menanti pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Perak bagi memudahkan perjalanan mereka ke Pekan Manong.

Maka apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada kempen PRK kali ini mengumumkan pembinaan jambatan itu akan bermula pada Mac tahun depan dengan bajet diluluskan sebanyak RM44 juta, penduduk menyambutnya dengan penuh harapan.

Jambatan itu akan memendekkan perjalanan, menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, menyediakan jalan perhubungan yang selesa dan menjamin tahap keselamatan penduduk setempat.

Jambatan itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 500 penduduk daripada 100 keluarga dalam kalangan pekebun getah dan kelapa sawit di kawasan itu. Ia akan memudahkan mereka ke Pekan Manong dan bandar Kuala Kangsar.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul, Zainol Ariffin, 17 berkata selama ini dia terpaksa bangun seawal jam 5 pagi untuk ke sekolah dengan menaiki bot penambang.

“Kadang-kadang juga saya lewat ke sekolah apabila air sungai surut. Ini menyebabkan saya terpaksa menunggu sehingga bot itu boleh bergerak. Ini menyebabkan saya didenda orang guru saya di sekolah akibat kelewatan itu.

“Bila musim banjir pula, saya terpaksa menumpang jiran yang ada kereta dengan menggunakan jalan darat. Ia menyebabkan saya lewat ke sekolah kerana terpaksa menempuh perjalanan sejauh kira-kira 45km,” katanya kepada FMT.

Penduduk, Zahar Ahmad, 48, berkata beliau percaya pembinaan jambatan Manong itu bukan sekadar janji politik daripada BN.

“Apabila Najib umumkan pembinaan jambatan itu bermakna kerajaan menunaikan impian bekas ahli Parlimen di kawasan itu, allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

“Allahyarham Wan Khair-il sudah lama memperjuangkan isu jambatan itu termasuk membentangkannya di Dewan Rakyat dan sudah beberapa kali memohon kepada Jabatan Kerja Raya menyegerakan pembinaannya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Kirin, 50, berkata dia menggunakan perkhidmatan bot penambang sejak 20 tahun yang lalu sebagai pengangkutan awam dan diharap dengan adanya jambatan itu kelak, dia tidak perlu lagi naik bot.

Bot penambang beroperasi di Sungai Perak setiap hari dari 6 pagi hingga 6 petang dengan kadar RM1 bagi tambang pergi balik dan RM2 jika membawa motosikal bagi perjalanan lima minit untuk merentasi sungai itu.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini berkata projek pembinaan jambatan itu dijangka mengambil masa selama 18 hingga 20 bulan untuk disiapkan.

Katanya, kerajaan meluluskan peruntukan RM43.5 juta bagi pembinaan jambatan itu dan jalan sepanjang 3km di sekitar kawasan projek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.