Ahli perniagaan ditembak mati tiada musuh – polis

Ahli perniagaan ditembak mati tiada musuh – polis

Keluarga dan rakannya memberitahu mangsa tidak mempunyai musuh dan tidak bermasalah.

usahawan

SHAH ALAM:
Siasatan polis mendapati ahli perniagaan yang mati ditembak dalam kenderaannya berhampiran Plaza Tol Sungai Rasau dekat sini Rabu lepas tidak mempunyai musuh dan tiada rekod jenayah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata mangsa yang dikenali sebagai Gooi Tan Hock, 43, menjalankan perniagaan menjual meja snuker selama setahun.

“Mengikut keluarga dan rakannya, mangsa tidak mempunyai musuh dan tidak bermasalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.35 petang Rabu lepas, Gooi dipercayai dari arah Klang menuju ke rumahnya di Kajang ditembak mati oleh seorang suspek bermotosikal yang mengekori rapat kereta Toyota Velfire yang dipandu mangsa.

Shafien berkata mangsa dipercayai ditembak ketika membayar tol menggunakan kad Touch N Go sebelum terbabas ke arah lorong kiri jalan.

Katanya, hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati dua peluru melekat pada bahagian badan mangsa.

Beliau berkata pihaknya akan menghantar rakaman kamera litar tertutup berhubung kes itu kepada unit forensik bagi mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal suspek.

-BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.