Lepas serangan Orlando, umat Islam Fort Pierce dicemuh

Lepas serangan Orlando, umat Islam Fort Pierce dicemuh

Kereta melintas di depan masjid kampung halaman Omar Mateen membunyikan hon dan menjerit kata-kata hinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad.

masjid

FLORIDA:
Sejak pembunuhan beramai-ramai Orlando, komuniti kecil Islam di Fort Pierce, Florida – kampung halaman pembunuhnya – menjadi sasaran penghinaan dan cercaan.

“Scumbags!” – frasa itu dilemparkan daripada sebuah trak di depan Pusat Islam Fort Pierce, yang dulunya pernah dijadikan bangunan gereja.

Ketika umat Islam tiba di pusat itu, kereta yang melintas membunyikan hon dan pemandu atau penumpangnya menjerit kata-kata hinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad.

Satu-satunya masjid di Fort Pierce ialah di sebuah bangunan tidak bernama di belakang kedai menjual kenderaan.

Semua orang yang tidak pernah tahu kewujudan pusat Islam itu, kini sudah pun sedar ia ada di situ sejak kejadian berdarah kelab malam gay di Orlando, Florida.

Wartawan dan kru televisyen berkhemah di luar bangunan itu beberapa jam sehari. Masjid itu kini menjadi tumpuan kerana pembunuh itu, Omar Mateen adalah jemaahnya dan sempat mengunjunginya pada Jumaat lalu.

“Kami takut,” kata Bedar Bakht, seorang berbangsa Pakistan berusia 50-an yang sedang menyediakan juadah berbuka puasa.

Sebelum ini ramai yang akan berada di sini hingga tengah malam bagi meraikan bulan puasa, tetapi sekarang mereka meninggalkan bangunan ini secara berkumpulan untuk pulang ke rumah – sebagai langkah berjaga-jaga, kata Bedar.

Ini kali kedua rumah Allah itu menerima publisiti yang tidak baik.

Moner Muhammad Abusalha, warganegara Amerika yang pertama menjadi pengebom berani mati dalam perang saudara Syria, juga sering ke pusat berkenaan sebelum berlepas ke Syria di mana dia terkorban pada Mei 2014.

Omar yang juga mengenali Abusalha mendakwa kesetiaannya kepada kumpulan pengganas IS ketika mula menembak di Pulse, kelab gay terkemuka di Orlando pada awal pagi Ahad lalu.

“Tetapi kerana apa yang lelaki itu buat, kami malu,” kata seorang lelaki berusia 50-an ketika dia meninggalkan bangunan berkenaan.

“Dulu setiap malam orang datang meraikan bulan puasa. Sekarang lihat, tidak ada sesiapa. Hanya ada tiga orang,” katanya.

Bapa Omar sendiri, Seddique Mateen juga tidak memaafkan perbuatan anaknya.

“Jika dia tidak melakukan tindakan dahsyat itu saya mungkin akan memaafkannya, tetapi buat masa sekarang saya tidak boleh,” katanya kepada wartawan.

“Saya tidak tahu apa dan kenapa dia melakukannya, tetapi tidak boleh dimaafkan kerana melukakan hati keluarga sendiri. Kita tinggal di Amerika Syarikat sebagai sebuah keluarga,” katanya.

–AFP

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.