Sumber SPRM berkata, lelaki itu ditahan bersama wang berjumlah RM30,000 yang diterima daripada seorang kontraktor.
Menurut sumber itu, bekas wakil rakyat berkenaan dipercayai menerima wang rasuah itu daripada seorang kontraktor bagi membolehkan syarikat terbabit mendapat tender membaik pulih kemudahan awam.
“Penahanan itu dilakukan selepas SPRM melakukan intipan selama empat bulan. Sebelum ini pihak kami sudah menerima beberapa laporan membabitkan penyalahgunaan kuasa yang dilakukannya,” kata sumber itu ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan bekas wakil rakyat itu di sekitar Shah Alam.
“Saya tidak dapat mengulas lanjut perkara ini kerana siasatan masih dilakukan. Bekas MP itu berada dalam tahanan SPRM Selangor bagi tujuan (siasatan) itu,” katanya.
Bekas ahli Parlimen itu dibebaskan SPRM kira-kira jam 3 petang tadi, selepas selesai memberi keterangan.
Ketika ditemui pemberita, lelaki itu menafikan beliau terlibat dalam kegiatan rasuah seperti yang dilaporkan.
– BERNAMA
