MRSM anak polis: Tanah telah dibeli, tender diterima – Zahid

MRSM anak polis: Tanah telah dibeli, tender diterima – Zahid

Janji bina MRSM untuk anak polis bukan janji manis, kata timbalan perdana menteri

zahid-hamidi_MRSM_600

KUALA KANGSAR:
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kedua khusus untuk anak-anak polis di Perak bukan sekadar ‘janji manis’ daripadanya.

Katanya, pembinaan MRSM itu bakal jadi kenyataan berikutan kerajaan telah membeli tanah dan menerima tender membina bangunan pengajian itu.

“MRSM untuk anak polis memang saya sudah sebut tiga kali dan tanah itu telah dibeli oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Dan ini bukan satu janji tetapi ini satu realiti. Tender dia (MRSM) akan dikeluarkan pada akhir bulan ini.

“Saya buat pengumuman ini kerana berdasarkan realiti yang ada masa ini untuk anak-anak polis. Ianya MRSM kedua dibuat selain di Kulim Kedah,” katanya.

Zahid berkata demikian membalas dakwaan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi bahawa beliau hanya pandai membuat ‘janji manis’ berhubung pembinaan MRSM untuk anak-anak polis di Perak.

Asmuni juga sebelum itu mengingatkan pengundi di Kuala Kangsar supaya tidak termakan ‘janji manis’ Zahid. Asmuni mendakwa pemimpin UMNO itu pernah berjanji membina MRSM di Bagan Datoh dua kali sebelum ini tapi dimungkiri.

Sebelum ini, Zahid dalam siri kempen PRK di Kuala Kangsar mengumumkan kerajaan akan membina sebuah MRSM khusus untuk anak pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Perak tahun ini.

Zahid berkata, MRSM itu juga yang kedua khusus kepada anak warga polis selepas MRSM sama beroperasi di Kulim Kedah.

“Kita tahu anak tentera ada MRSM, jadi anak polis juga kena ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.