Jurulatih kayak didakwa bantu Isis

Jurulatih kayak didakwa bantu Isis

Tertuduh didakwa mengendalikan harta pengganas, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi dengan membenarkan transaksi wang dari akaun banknya.

Mohamad Jazrin Mohamad Azaha

KAMPAR:
Seorang jurulatih kayak dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang dari akaun banknya bagi manfaat pengganas.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohamad Jazrin Mohamad Azaha, 22, setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.

Tertuduh yang memakai baju kemeja T merah dan seluar jeans biru itu didakwa mengendalikan harta pengganas, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, 25, dengan cara memberikan perkhidmatan kewangan iaitu membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang dari akaun RHB Banknya.

Jazrin didakwa melakukan kesalahan itu di alamat nombor 67 dan 69, Jalan Tasik, 31600, Gopeng, pada Januari hingga Februari 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana harta terlibat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Azriah Zaid dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nurul Azriah berkata tertuduh tidak dibenarkan sebarang jaminan kerana kes tertakluk dengan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Mahkamah menetapkan 27 Julai depan bagi sebutan semula kes bagi mendapatkan izin kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tertuduh merupakan salah seorang daripada 14 individu termasuk seorang wanita yang disyaki mempunyai kaitan dalam gerakan kumpulan militan Isis ditahan polis dalam operasi pada 18 hingga 20 Mei lepas yang telah diumumkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

— BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.