“Boleh, saya akan buktikan. Satu buku pun boleh. Tentang ucapan-ucapannya.
“Apa dia buat selama ini. Tiada orang pun yang bila sebut Kit Siang, tidak kaitkan dengan rasis,” katanya dalam satu sidang media selepas menyampaikan dividen RISDA negeri Perak di Dewan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS).
Beliau berkata demikian menjawab cabaran Kit Siang menuntut menteri itu menyebut satu peristiwa sepanjang 50 tahun penglibatannya dalam politik tanahair yang dapat membuktikan dirinya anti-Melayu dan anti-Islam.
Sekiranya gagal berbuat demikian, Kit Siang mahu Ismail dan pimpinan UMNO lain menghentikan tohmahan terhadapnya.
Kit Siang dilaporkan berkata sedemikian bagi menjawab kenyataan Ismail di Sungai Besar pada 12 Jun lalu berhubung kerjasama Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pembangkang, terutama dengan DAP.
“Jika beliau sudah bersama Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang…dengan kumpulan yang menolak hak istimewa orang Melayu, Islam dan sebagainya, maka cukup untuk menjawab dengan sendiri,” kata Ismail seperti dipetik Malaysiakini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata sekutu DAP iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah mendakwa Kit Siang seorang rasis.
Malah, ramai orang akan bercakap perkara yang sama apabila nama Kit Siang disebut.
“Sahabat baik dia, Tun Mahathir dulu, dalam ucapannya dulu-dulu pun mengatakan Kit Siang rasis.
“Orang paling rasis dalam DAP memperjuangkan orang yang rasis dan sebagainya. Jadi apabila saya bercakap itu, semua orang bercakap perkara yang sama,” katanya.