‘Papa’ pentingkan hubungan kekeluargaan – Wan Imar

‘Papa’ pentingkan hubungan kekeluargaan – Wan Imar

Kekuatan itu yang digunakannya untuk meneruskan perjuangan ayahnya bersama tiga adik beradik yang lain.

 

Wan-Mohamamad-Khair-il

KUALA KANGSAR:
“Semasa hayatnya, arwah ‘Papa’ sangat mementingkan sifat keakraban dalam hubungan kekeluargaan di sebalik kesibukannya dengan kerjaya dan berkhidmat untuk negara,” luah anak kedua Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Wan Imar Izzat.

Malah, Wan Imar, 25, akui masih merasakan arwah ayahnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad berada disisinya merestui segala usaha keluarganya.

“Semangat itulah menjadi kekuatan kami meneruskan kehidupan dan perjuangan arwah papa,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama FMT di kediaman beliau.

Wan Imar yang kini menguruskan perniagaan bapanya, W&W Architect di London berkata, pada saat mendengar berita nahas helikopter yang mengorbankan ayahnya, hanya tiga perkara yang bermain di benak fikirannya itu.

“Pertama, saya redha dengan pemergian arwah, dalam masa yang sama terfikir bagaimana nak jaga mak dan adik-beradik yang lain di samping menyambung perjuangan ayah,” katanya.

Tumpu pada kerjaya

Menjawab soalan tentang hala tuju beliau selepas pemergian arwah ayahnya, Wan Imar menegaskan beliau berkeputusan untuk menumpu pada kerjaya terlebih dahulu.

“Ramai yang menjangka saya akan terlibat dalam politik, namun bagi saya tidak. Ini kerana saya dan tiga adik-beradik yang lain mahu beri fokus kepada kerjaya terlebih dahulu,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak bahawa akan terus membantu ibunya, Datin Mastura Mohd Yazid yang dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Kuala Kangsar untuk mengharungi pilihan raya kecil ini.

Sebagai anak kedua dalam keluarga arwah Wan Khair-il, beliau komited membantu ibunya sebanyak yang mungkin supaya terus memastikan kemenangan serta dapat meneruskan perjuangan arwah bapa.

Tunaikan hajat terakhir Allahyarham Wan Khair-il 

Sementara itu, Wan Imar turut menceritakan satu-satunya permintaan terakhir ayahnya, Wan Khair-il ialah untuk melihat dia melangsungkan perkahwinan pada Ogos depan.

Arwah ayahnya juga begitu teruja untuk majlis tersebut sehingga mahu mereka bentuk sendiri pelamin untuknya.

Namun, hajat itu tidak kesampaian apabila beliau telah terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak baru-baru ini.

“Walaupun arwah ayah telah tiada, namun saya akan gunakan keakraban kami sekeluarga untuk merealisasikan hajat terakhir ayah itu.

“Saya tidak dapat gambarkan perasaan melangsungkan perkahwinan tanpa ayah. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan ini. Namun saya akan berusaha untuk meneruskan majlis perkahwinan ini,” katanya.

Selain Wan Imar, Allahyarham Wan Khair-il meninggalkan tiga lagi warisnya, Wan Emir Astar, 26, Wan Iskandar, 23, dan Wan Muhammad Amar, 19.

Wan Mohamamad Khair-il merupakan antara enam mangsa nahas helikopter di Kuching pada Mei lalu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.