MKN: Tidak timbul isu tidak hormati Majlis Raja-raja

MKN: Tidak timbul isu tidak hormati Majlis Raja-raja

Pihak yang menuduh bahawa Kerajaan tidak menghormati Majlis Raja-Raja adalah orang yang tidak memahami peraturan.

nazri-NSC

SUNGAI BESAR:
Tindakan Kerajaan Persekutuan yang mewartakan Akta Majlis Keselamatan Negeri (MKN) seharusnya tidak dianggap sebagai tidak menghormati Majlis Raja-raja.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, isu tidak menghormati Majlis Raja-raja juga tidak timbul.

“Ia bukan soal tidak hormat, tetapi tidak ada peruntukan pindaan perlu dilakukan atas sebab Majlis Raja-raja,” katanya sewaktu ditemui pemberita, hari ini.

Ujarnya, pindaan MKN hanya boleh dilakukan pada sesi Parlimen akan datang dan dibentangkan sebagai Rang Undang-Undang (RUU) baru.

“Kita tidak boleh lakukan pindaan semata-mata Majlis Raja-raja tidak setuju. Kerana ia harus dibawa ke Parlimen untuk dipinda dan ia perlu dibahas di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya lagi.

Nazri turut menyifatkan pihak-pihak yang menuduh bahawa Kerajaan tidak menghormati Majlis Raja-raja adalah orang yang tidak memahami peraturan.

“Majlis Raja-raja boleh mengeluarkan sebarang kenyataan dan ia tidak akan membawa sebarang perubahan.

“Kerana, kita harus ikut prosedur dan prosedurnya adalah sangat senang untuk difahami.

“Ia perlu diluluskan oleh kedua-dua Dewan, kemudian diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dapatkan tandatangan, dan ia terus akan menjadi undang-undang,” jelasnya

Pada 17 Februari lalu, Majlis Raja-raja berpendapat beberapa peruntukan dalam RUU Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu diperhalusi.

Majlis Raja-raja menzahirkan pandangan itu selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyembahkan taklimat mengenai RUU itu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-240 di Istana Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.