
“Masyarakat perlu menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris perasaan mereka,” kata Rosmah ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada anggota keselamatan negara, lapor Bernama.
Beliau yang juga merangkap Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) juga mengingatkan agar tidak memperkecilkan pergorbanan anggota keselamatan negara semata-mata kerana perbezaan ideologi politik, budaya dan agama.
“Janganlah disebabkan perbezaan ideologi politik, budaya dan agama maka kita mudah mencemuh dan melupakan segala pengorbanan pasukan keselamatan,” tegasnya.
Malah menurut beliau lagi, kesejahteraan dan keamanan negara tidak akan wujud tanpa pengorbanan serta kesanggupan anggota keselamatan bertugas tanpa mengira waktu termasuk pada musim perayaan.
“Mereka sanggup bekerja di perbatasan negara, jauh nun di belantara dan di lautan biru serta terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak yang tersayang demi menjalankan tanggungjawab kepada negara,” katanya dalam menzahirkan penghargaan buat anggota keselamatan.
Dalam majlis itu, Rosmah yang mewakili Bakti menyerahkan kira-kira 55,000 bungkusan makanan raya bernilai sekitar RM522,500 mengandungi makanan kegemaran rakyat Malaysia seperti rendang daging, sambal ikan bilis, kuah kacang dan nasi himpit kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.