Pengarah sistem perunding pembayaran Cotignac yang mengendalikan peralihan sistem berkenaan di Malaysia, Paul Brisk berkata langkah itu diambil untuk mencegah sebarang penipuan apabila menggunakan sistem tandatangan.”Itu sebabnya negara Amerika Syarikat paling banyak berlaku kes-kes penipuan kad kredit kerana ia masih bergantung kepada pengesahan tandatangan,” katanya dalam satu temubual kepada akhbar The Star.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM), Chuah Mei Lin pula dalam laporan yang sama mengakui sistem pengesahan PIN sebagai paling efektif terutama sekali jika belakunya kes kehilangan atau kecurian kad.
Di samping itu, isu kad klon juga telah ditangani dengan EMV (Europay, MasterCard, Visa) yang diperkenalkan di sini antara tahun 2002 dan 2005 sekali gus membantu mengurangkan penipuan memandangkan ia adalah sangat sukar dan mahal untuk dipalsukan.
“Apabila transaksi dilakukan dengan membaca cip, ia menghasilkan kriptogram unik dalam sesuatu masa tertentu yang kemudiannya perlu disahkan sebelum transaksi diluluskan,” jelas Chuah.
Menurut Brisk lagi, sistem pengesahan PIN adalah ciri keselamatan terbaik apabila ia menggabungkan kad fizikal dan PIN yang hanya diketahui oleh pemilik itu sendiri.
“Ia bukan sahaja selamat tetapi lebih mudah,” katanya.
Ekoran itu, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan menggantikan lapan juta kad kredit dan 31 juta kad debit dengan kad baharu menjelang Januari 2017.
Mesin pembayaran kad atau merchant terminal juga akan dinaik taraf untuk menampung sistem keselamatan baharu itu.
Pemegang kad kredit sudahpun mula menerima kad baharu mereka secara berperingkat manakala pengguna kad debit boleh melakukannya sendiri dengan mendapatkan khidmat sendiri di bank masing-masing.