Buktikan saya anti Melayu, Kit Siang cabar Ismail Sabri

Buktikan saya anti Melayu, Kit Siang cabar Ismail Sabri

Jika gagal kemukakan bukti, Ismail dan pemimpin UMNO lain harus menghentikan tohmahan seumpama itu.

lim-kit-siang--Ismail-Sabri-Yaakob

KUALA KANGSAR:
Tokoh DAP Lim Kit Siang mencabar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyebut ‘satu peristiwa’ sepanjang 50 tahun penglibatannya dalam politik yang dapat membuktikan beliau anti Melayu dan Islam.

Jika gagal berbuat demikian, katanya Ismail dan pemimpin UMNO lain harus menghentikan tohmahan seumpama itu.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ismail di Sungai Besar semalam berhubung kerjasama Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pembangkang, terutama dengan DAP.

“Jika beliau sudah bersama Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang…dengan kumpulan yang menolak hak istimewa orang Melayu, Islam dan sebagainya, maka cukup untuk menjawab dengan sendiri,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Kecewa dengan kenyataan itu, Kit Siang mengakui ditohmah dengan pelbagai tuduhan sepanjang 50 tahun terlibat dalam politik.

“Jika gagal beri contoh yang menunjukkan saya anti Melayu dan Islam, anda harus hentikan tohmahan itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Kit Siang juga menyatakan kegusarannya berhubung peratusan keluar mengundi dalam PRK Kuala Kangsar 18 Jun ini, yang menyukarkan lagi peluang AMANAH untuk menang.

“PRK ini amat penting…maka saya menggesa semua pengundi yang tinggal di luar untuk pulang dan membuang undi dan bersama-sama menentukan keputusan PRK ini.

“Jika AMANAH mahu menang, yang mana ia tugas sukar, kita memerlukan peratusan pengundi yang tinggi. Amanah baru berusia 9 bulan berbanding UMNO dan PAS yang sudah berdekad lamanya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Kebangsaan Wong Kah Woh berkata DAPSY melancarkan kempen ‘Jom Balik Undi’ di media sosial bagi menggesa pengundi di luar untuk pulang pada 18 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.