Nurul Izzah akui AMANAH sukar dekati pengundi Sungai Besar

Nurul Izzah akui AMANAH sukar dekati pengundi Sungai Besar

Parti baharu itu sukar menembusi pasaran dan jentera Pakatan Harapan perlu bekerja keras untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

SUNGAI BESAR:
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengakui Pakatan Harapan yang diwakili AMANAH menghadapi laluan sukar mendekati pengundi bagi PRK Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini.

Beliau yang ditemui ketika berkempen bagi calon AMANAH di Pasar Awam Sungai Besar di sini hari ini berkata sukar bagi parti baharu seperti AMANAH untuk menembusi pasaran dan jentera Pakatan Harapan perlu bekerja keras untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

“Jadi pada saya, kerana itulah kita kena bertungkus-lumus dan petugas kami pun memakai baju AMANAH untuk memperkenalkan logo calon dan juga kita (Pakatan Harapan) pilih calon tempatan,” katanya.

Nurul Izzah berkata Pakatan Harapan akan lebih sensitif dalam berkempen ketika bulan puasa ini terutama selepas insiden papan iklan bersifat provokatif yang didirikan sekutunya DAP di sekitar pekan Sekinchan.

Pada PRK itu, calon AMANAH Azhar Abdul Shukur selaku pengerusi AMANAH Sungai Besar ditentang calon BN Budiman Mohd Zohdi manakala PAS mempertaruhkan ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar dengan 67.16% pengundi Melayu, 30.70% pengundi Cina, 1.92% pengundi India dan 0.22% pengundi kaum lain.

— BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.