Sebat sivil lebih sakit daripada syariah

Sebat sivil lebih sakit daripada syariah

Kerana hukuman syariah mahu timbulkan rasa malu, bukan luka fizikal.

sebat
SUNGAI BESAR: Hukuman sebat bawah undang-undang sivil lebih keras berbanding hukuman rotan syariah, yang akan ditambah had jumlahnya melalui Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah.

Calon PAS, Dr Abdul Rani Osman menjelaskan hukuman sebat syariah bertujuan menimbulkan rasa malu, bukan luka fizikal.

“Doktor yang merawat orang yang kena dua kali sebatan (sivil) tahu ia cukup sakit,” kata Rani, yang juga seorang pengamal perubatan moden.

“Jika ada salah seorang daripada kamu yang kena sebat (syariah), kamu akan ketawa sebab tidak sakit. Saya pernah lihat di Acheh, rasa malu saja,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada cadangan penambahan hukuman syariah, termasuk sebat, yang dicadangkan melalui RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

Pindaan itu berhasrat mengangkat had jumlah hukuman yang boleh dikenakan iaitu denda RM5,000 dan enam sebatan bagi kesalahan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Mengikut kaedah syariah, alat sebatan hendaklah daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 cm.

Alat sebatan digunakan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala, dan selepas satu sebatan, alat sebatan tidak boleh ditarik tetapi diangkat ke atas.

Rani berkata pihaknya mengedarkan 10,000 risalah bagi menjelaskan tujuan usul Hadi dan merungkai sebarang salah faham.

“RUU tidak ada kaitan dengan orang bukan Islam.

“Semalam semasa meninjau kawasan saya pergi tengok orang Cina berjudi, mereka minta maaf tetapi saya tidak kisah. Itu hak mereka, kita tak kacau,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.