Shafee Abdullah dilantik duta besar hak asasi manusia

Shafee Abdullah dilantik duta besar hak asasi manusia

Ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk terus memperjuangkan dan melindungi hak asasi manusia.

Shafee-Abdullah_human-rights_600

PUTRAJAYA:
Kerajaan melantik peguam veteran Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai Duta Besar Tugas-tugas Khas Mengenai Hak Asasi Manusia bagi penggal dua tahun dari 2016 hingga 2018.

Kementerian Luar, dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan Muhammad Shafee itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk terus memperjuangkan dan melindungi hak asasi manusia.

“Pelantikan ini manifestasi komitmen teguh kerajaan Malaysia untuk meningkatkan libat urusnya dalam menangani isu hak asasi manusia dengan semua pihak berkepentingan, termasuk pertubuhan masyarakat sivil (CSO), ahli akademik, agensi kerajaan dan pertubuhan antarabangsa,” katanya.

Shafee berkecimpung dalam bidang perundangan sejak hampir 31 tahun lepas dan terbabit dalam pelbagai bidang undang-undang, termasuk hak asasi manusia.

Beliau berkhidmat sebagai pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi tiga penggal berturut-turut iaitu dari 2004 hingga 2010.

Beliau juga dilantik sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hal Asasi Manusia (AICHR) bagi dua penggal iaitu dari 2009 hingga 2015.

— BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.