
Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) itu bagaimanapun berkata, perbincangan berkaitan hak asasi manusia semakin menjadi kebiasaan baru-baru ini, walaupun membabitkan rekod negara anggota.
Beliau berkata, perkara sedemikian jauh lebih sukar dibincangkan dahulu kerana ada negara anggota menolak cadangan penemuan suruhanjaya itu didedahkan kepada orang ramai.
“Tetapi, keadaan di AICHR kini sudah berubah dan kami lebih terbuka membincangkan isu sensitif mengikut prinsip dan pendekatan Asean,” katanya kepada FMT.
Beliau memberi contoh AICHR mewujudkan ruang membina dalam programnya untuk membincangkan cabaran di Aceh, Timor-Leste, Papua, sempadan Kemboja-Thai, Selatan Thailand, Selatan Filipina dan Myanmar.
Katanya, beliau sendiri membangkitkan pergolakan di Indonesia, pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan Singapura melaksanakan hukuman mati seperti yang berlaku ke atas rakyat Malaysia disabitkan kesalahan mengedar dadah.
Bon berkata, tiada negara mempunyai rekod hak asasi manusia sempurna, di mana konflik dan bencana berpunca daripada tindakan manusia bukan perkara baharu di Asia Tenggara.
“Kami tidak buta terhadap realiti.”
Beliau berkata demikian susulan mesyuarat serantau bagi mengukuhkan mekanisme untuk promosi dan perlindungan hak asasi manusia secara berkesan.
Mesyuarat di Putrajaya pada 22 dan 23 Sept lalu disertai wakil AICHR, pelbagai badan sektor Asean dan pertubuhan masyarakat sivil serta pakar dalam bidang hak asasi manusia dan pembangunan.
Bon berkata, AICHR akan berusaha sedaya upaya tahun ini untuk menunjukkan perubahan ketara di lapangan dan mengukuhkan perlindungan hak asasi manusia di seluruh blok Asean.
Menurutnya, suruhanjaya itu menerima 131 kes sejak ditubuhkan pada 2010 dan menyaksikan peningkatan ketara pada tahun ini saja – lonjakan menunjukkan peranan AICHR semakin relevan di Asean.
“Kami terima surat daripada mangsa dan organisasi masyarakat sivil mengenai pelbagai isu hak asasi manusia.”
Katanya, suruhanjaya itu telah dihubungi mengenai pelbagai isu, termasuk hak pelarian, kebebasan berhimpun, perlindungan pembela hak asasi manusia dan kebimbangan berkaitan konflik.
Beliau berkata, isu sebegini “hanya akan berkembang dari segi kerumitan dan keperluan mendesak”.
“Justeru, penting untuk AICHR terus menjadi mekanisme amaran awal bagi Asean, dengan pendekatan susulan yang sistematik.”