Kontroversi FAM akibat kejar kejayaan palsu, pinggir hak asasi manusia, kata aktivis

Kontroversi FAM akibat kejar kejayaan palsu, pinggir hak asasi manusia, kata aktivis

Johan Ariffin Samad berkata terdapat ribuan penduduk Malaysia tanpa kerakyatan termasuk di Sabah yang berhak diberi kewarganegaraan.

stateless-children-160324
Walaupun tiada data rasmi, pelbagai laporan menganggarkan seramai 300,000 penduduk termasuk ramai kanak-kanak di Sabah tiada kerakyatan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis Sabah berkata kontroversi naturalisasi tujuh pemain bola sepak adalah akibat daripada tindakan kerajaan yang terlalu mengejar ‘kejayaan palsu’ hingga mengenepikan hak asasi manusia.

Johan Ariffin Samad berkata terdapat ‘ribuan’ penduduk Malaysia tanpa kerakyatan di seluruh negara termasuk di Sabah yang nasib mereka sering diperjuangkan NGO, sepatutnya diberi kewarganegaraan.

“Tetapi kita mengutamakan sukan untuk mendapatkan kejayaan palsu berbanding memberi perhatian kepada isu hak asasi manusia.

“Bola sepak hanya bersifat jangka pendek. Memberi kewarganegaraan kepada pemain import adalah langkah jangka pendek dan hanya untuk dapatkan balasan,” katanya kepada FMT.

Walaupun tiada data rasmi, pelbagai laporan menganggarkan terdapat kira-kira 300,000 individu tanpa kerakyatan di Sabah, termasuk kanak-kanak.

Bernama tahun lalu melaporkan kira-kira 12,000 hingga 16,000 orang tanpa kerakyatan di Semenanjung Malaysia, manakala pemimpin tempatan serta kumpulan masyarakat sivil di Sarawak menganggarkan bilangan di negeri itu mencecah puluhan ribu.

Johan juga menuduh pihak berkuasa cuba menutup mata terhadap krisis penduduk tanpa kerakyatan di Sabah. “Ini adalah dasar ‘tidak nampak, tidak kisah’,” katanya.

Minggu lalu, Pertubuhan Pembangunan Sumber Manusia Luar Bandar (DHRRA) menggesa Kementerian Dalam Negeri memberi kelonggaran yang sama dalam proses naturalisasi tujuh pemain bola sepak itu kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan yang mempunyai pertalian dengan rakyat Malaysia.

Akhir bulan lalu, Fifa mengenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan menggantung tujuh pemain terbabit selama 12 bulan, selain denda sebanyak 2,000 franc Swiss (RM11,000) setiap pemain.

Badan induk bola sepak dunia itu berkata, jawatankuasa tatatertibnya mendapati FAM bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, yang berkaitan penggunaan dokumen palsu atau dipalsukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.