Saya tak berbaju Melayu atau berkot di kawasan Cina – Budiman

Saya tak berbaju Melayu atau berkot di kawasan Cina – Budiman

Beliau menafikan jentera kempennya memasang gambarnya bersongkok dan memakai blazer di billboard yang didakwa milik Pakatan Harapan di Sekinchan.

Budiman-Mohd-Zohdi_bn_600

SUNGAI PANJANG:
Calon BN Budiman Mohd Zohdi menafikan pembabitannya dalam ‘merompak’ papan iklan yang dikatakan milik DAP di Sekinchan.

Budiman berkata beliau biasanya tidak memakai blazer dan baju Melayu jika melawat ke kawasan yang majoriti penduduk Cina.

Papan iklan yang didakwa dicuri BN itu memaparkan gambar Budiman bersongkok dan memakai blazer.

“Ia taktik murahan pihak lawan yang terdesak untuk cemar karakter peribadi saya. Papan iklan itu bercanggah dengan standard operasi saya.

“Selalunya saya tidak pakai baju Melayu dekat kawasan Cina dan saya sendiri anak kampung, pakai kot dan blazer bukan cara saya,” katanya pada sidang media di pusat kawalan BN, hari ini.

Katanya, sepanjang berkempen dan mendekati pengundi di Sungai Besar, beliau hanya berkemeja T.

“Hari ini pun pakai baju biasa, tidak mungkinlah di tempat itu, saya tiba-tiba pakai blazer. Sebab itu, bila Sue Lim buat provokasi, saya tidak mahu jawab pada ketika itu,” katanya.

Terdahulu hari ini, ADUN Sekinchan Ng Sue Lim mendakwa BN ‘merompak’ papan iklan Pakatan Harapan (PH) dengan memasang gambar Budiman di empat papan iklan yang didakwa milik PH.

Budiman yang juga ADUN Sungai Panjang itu turut menyelar tindakan DAP yang dilihat cuba menyemai perasaan benci dalam kalangan masyarakat Cina di Sekinchan.

“Saya jangka taktik ini akan berterusan. Bagaimanapun, saya yakin tindakan itu tidak akan menjejaskan kerana saya sudah berkempen sejak tiga tahun lalu.

“Saya juga sedang mendapatkan nasihat sama ada untuk membuat laporan polis atau tidak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.