Demikian kata Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Kong berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada NGO dan masyarakat Cina setempat.
“Tadi juga saya ada dialog bersama NGO dan saya beritahu mereka setiap undi amat penting dan saya jumpa dengan komuniti Cina, 80% daripada mereka memberi respons positif.
“Kebanyakan mereka kenal Datin Mastura dan yakin dengan kemampuan beliau,” katanya selepas mengadakan lawatan ke rumah Mastura hari ini.
Tambahnya, rata-rata pengundi Cina di Kuala Kangsar menyokong Mastura kerana sikap ikhlas dan pandai menjaga hati rakyat seperti arwah suaminya.
Pun begitu, beliau berkata, BN perlu bekerja keras sehingga hari terakhir berkempen bagi memastikan kemenangan menjadi milik Mastura.
Mastura akan berdepan saingan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad dan Naib Ketua AMANAH kawasan Kuala Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli pada 18 Jun nanti.
Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 22,496 Melayu, Cina (7,757), India (2,287), Bumiputera Sarawak (16), Bumiputera Sabah (13) dan Orang Asli (330).