Hakisan tebing sungai ‘telan’ 80% SK Kampung Buda

Hakisan tebing sungai ‘telan’ 80% SK Kampung Buda

Hakisan berlaku ketika air pasang besar di Sungai Saribas dan tiada kecederaan dilaporkan kerana kejadian berlaku ketika cuti persekolahan.

Hakisan tebing Sungai Saribas

BETONG:
Hakisan tebing Sungai Saribas yang berlaku semalam memusnahkan kira-kira 80% bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buda di Spaoh, lebih kurang 58km dari sini.

Pengawal keselamatan sekolah berkenaan mula mengesan hakisan itu kira-kira jam 2 pagi semalam dan lebih kurang sejam kemudian, bangunan kayu berhampiran tebing sungai berkenaan runtuh dan hilang di dalam sungai.

Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Betong, hakisan berlaku ketika air pasang besar di sungai itu.

Antara bangunan yang musnah ialah sebuah surau, tadika, bilik darjah Tahun 4, 5 dan 6, bilik ulang kaji, bilik sains, setor buku dan dua tandas.

Turut musnah ialah pos pengawal, sembilan kuarters guru, pusat sumber dan sebuah jeti.

Sekolah berkenaan mempunyai 13 guru dan 73 murid.

Satu pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Betong adalah antara pihak yang membantu menyelamatkan barangan dan memantau keadaan di sekolah itu.

Menurut kenyataan itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana kejadian berlaku ketika cuti persekolahan.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.