ADUN Sekinchan Ng Sue Lim berkata jentera BN dipercayai meletakkan gambar calon, Budiman Mohd Zohdi pada papan iklan mereka tanpa kebenaran.
“Pagi tadi saya terkejut, melihat BN merompak papan iklan kita untuk pasang iklan calon Budiman. Sebagai wakil rakyat, mereka harus tahu siapa yang pasang dan siapa yang letak.
“Saya sedih dan kesal kerana mereka ambil papan iklan kita, dan saya akan tuntut semula.
“Kita sudah laporkan kepada Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) biarlah mereka yang ambil tindakan,” katanya padasidang media di Pejabat DAP Sekinchan, hari ini.
Sue Lim kemudian membawa petugas media ke lokasi papan iklan yang didakwanya untuk menunjukkan bukti.

Ketika Sue Lim menunjukkan papan iklan itu kepada petugas media, Budiman secara kebetulan lalu di kawasan berkenaan.
Budiman berada di Sekinchan untuk berkempen dan mendekati masyarakat Cina di kawasan berkenaan.
Tiba-tiba Sue Lim menerpa Budiman dan mempersoalkan mengapa BN bertindak sedemikian sehingga berlaku pertikaman lidah di antara mereka.
Bagaimanapun, Budiman secara tenang menjelaskan beliau tidak mengetahui siapa individu atau pihak mana yang melakukan perkara itu.
“Saya akan jelaskan pada sidang media jam 1 tengah hari nanti. Dia boleh buat apa saja tuduhan.
“Bukan saya buat, boleh jadi DAP buat untuk sabotaj saya. Sebab itu kita jangan cakap di sini, nanti jadi gaduh,” kata Budiman.
Selepas mendengar jawapan Budiman, Sue Lim berkata beliau akan melaporkan kepada polis mengenai isu itu.
“Saya bagi masa sampai petang, jika ia masih tidak diturunkan, kami akan turunkan sendiri,” katanya.
