Antara petua yang digariskan ADUN Mengkibol, Tan Hong Pin termasuklah memulihara dan memelihara kawasan tadahan air secara proaktif.
“Walaupun isu ini sering saya timbulkan baik di dalam atau di luar Dewan Negeri sejak saya dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri Johor, namun kerajaan masih belum memberikan perhatian yang sewajarnya dalam perkara ini.
“Aktiviti di kawasan tadahan air wajib dikawal ketat dan segala aktiviti yang memberikan ancaman kepada kualiti air dan fungsi tadahan air tersebut wajib diharamkan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Walaupun Enakmen Air 1921 telah dipinda dua tahun lalu, Hong Pin berkata penguatkuasaan undang-undang sedia-ada perlu dipertingkat.
“Dua tahun telah berlalu dan penguatkuasaan enakmen ini masih lemah dan pencerobohan kawasan tadahan semakin berleluasa,” katanya.
Di peringkat pengguna pula, Hong Pin menyeru kerajaan memperkenalkan langkah pengurusan permintaan yang berkesan bagi mengurangkan penggunaan air per kapita yang tinggi.
“Penggunaan air per kapita di Johor sekarang adalah tinggi iaitu 220 liter per kapita sehari.
“Kita haruslah mensasarkan 150 liter seorang setiap hari sebagai penggunaan air per kapita yang baru di negeri Johor dan mencapai sasaran ini secepat yang mungkin, dalam masa lima tahun jika boleh,” katanya.
Tegasnya, kerajaan perlu merangka strategi menyeluruh dan berkesan dalam mengurus sumber air di Johor.
Selasa lalu, kerajaan Johor mengalu-alukan keputusan Singapura menyalurkan bekalan air bersih tambahan sebanyak enam juta gelen sehari selama sebulan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bagaimanapun bantuan itu tidak akan membuat kerajaan negeri berhenti berusaha mencari sumber air baru dan alternatif lain.