Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, Naurah Faqihah Mohd Ayub meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibunya, Nur Hafizah Nasiri, 28, mengalami kecederaan parah dengan patah tangan kiri dan tulang belakang.
Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas dalam kenyataannya hari ini berkata ketika kejadian, kenderaan yang dipandu ayah mangsa, Mohd Ayub Maidi, 28, dalam perjalanan dari Kampung Bugayah ke pekan Semporna.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, Ayub gagal mengelak lalu melanggar bahagian kanan belakang lori sampah berkenaan yang diletakkan di tepi jalan.
Akibat perlanggaran itu, kenderaan dipandu Ayub terbabas ke dalam gaung di sebelah kanan jalan manakala lori sampah berkenaan ke sebelah kiri jalan.
Peter berkata ketika kejadian, Naurah Faqihah dipercayai dipangku ibunya di kerusi penumpang sebelah pemandu.
Ayub dan seorang lagi anaknya, Mohd Hafuz Munawwar, 2, hanya mengalami cedera ringan. Semua mangsa dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Peter menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika meletakkan kenderaan di tepi atau bahu jalan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku
– BERNAMA