Dua sepupu maut terkena renjatan elektrik

Dua sepupu maut terkena renjatan elektrik

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran membabitkan kabel elektrik.

Die-electrick-shock

BUTTERWORTH:
Dua sepupu yang juga pemilik sebuah kedai kitar semula maut selepas terkena renjatan elektrik dalam kejadian kebakaran di premis berkenaan di Jalan Bagan Lalang, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, Koi Kok Leng, 35, dan Koi Ang Leng, 37, maut di tempat kejadian selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran membabitkan kabel elektrik.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang, Penolong Kanan Penguasa Mohd Azman Hussin berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 malam dan tiba di di tempat kejadian 11 minit kemudian.

“Sebaik tiba kami dapati dua lelaki berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Beliau berkata, pihak bomba pada mulanya tidak dapat mengeluarkan mangsa kerana terdapat lebihan kabel elektrik di kawasan lantai dua lelaki itu ditemui.

Selain itu katanya, terdapat takungan air di tempat mangsa ditemui dan kedudukan mereka mungkin mengandungi arus elektrik.

Mohd Azman berkata, pihaknya turut mendapat bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad untuk mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian.

Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan lanjut kes itu masih dijalankan dan setakat ini ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, polis akan merekodkan keterangan daripada pekerja di sana bagi membantu siasatan kes berkenaan.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.