Dua paraglider serah diri

Dua paraglider serah diri

Keterangan telah diambil dan kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu dibebaskan dengan jaminan polis.

pragliders-kuala-kangsar

KUALA KANGSAR:
Dua paraglider yang berlegar-legar di ruang udara ketika proses penamaan calon bagi PRK Kuala Kangsar pada Ahad lalu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar malam tadi.

Jurucakap polis bagi PRK Kuala Kangsar, ACP Shaharon Anuar Abdul Latiff berkata, kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu hadir di IPD berkenaan pada jam 10.30 malam Isnin.

“Mereka menyerah diri bersama kelengkapan paraglider dan mengakui adalah juruterbang paraglider tersebut yang berlegar-legar di ruang udara di Dewan Jubli Perak ketika proses penamaan calon berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis telah merampas peralatan yang dibawa kedua-dua lelaki berkenaan.

Shaharon Anuar berkata, keterangan telah diambil dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Siasatan mengenai kejadian itu masih diteruskan di bawah Peraturan 143 Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Semalam, polis menerima laporan mengenai dua paraglider itu dan hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kelulusan penerbangan paraglider dikeluarkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.