Allah jadikan saya Cina, selamanya saya Cina – Ridhuan Tee

Allah jadikan saya Cina, selamanya saya Cina – Ridhuan Tee

Bagi Ridhuan, tidak salah memperjuangkan agenda Melayu asalkan sejajar agenda nasional, terutama berhubung soal Bahasa Melayu dan agama Islam.

riduan tee

PETALING JAYA:
Walau apapun tohmahan yang dilemparkan terhadapnya, penceramah kontroversi Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menegaskan beliau selama-lamanya adalah orang Cina.

“Saya dari dulu cakap, saya orang Cina yang dilahirkan Cina, Allah jadikan Cina. Sampai bila-bila saya ini orang Cina,” katanya dalam satu wawancara bersama ProjekMMO.

Sebelum ini, pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin itu dilabelkan sebagai “lebih Melayu daripada Melayu” susulan kenyataan serta artikelnya di akhbar Sinar Harian yang dilihat lebih memperjuangkan agenda Melayu berbanding Cina sehingga mengundang kritikan dan cemuhan pelbagai pihak.

Namun, bekas ahli MCA itu sendiri tidak menganggap pandangannya bersifat Melayu ala UMNO, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada “agenda negara” yang mesti dihayati semua.

Baginya, tidak salah memperjuangkan agenda Melayu asalkan sejajar agenda nasional, terutama berhubung soal Bahasa Melayu dan agama Islam.

“Bahasa Melayu dan agama Islam itu agenda negara, saya perjuangkan. Jangan lawan perkara itu.

“Negara kita merdeka hampir 60 tahun tetapi kita tidak menghayati agenda negara. Tidak salah saya perjuangkan Melayu kalau itu menepati agenda negara,” katanya.

Beliau menganggap ketaksuban terhadap kaum telah menggagalkan agenda nasional di kalangan masyarakat bukan Melayu.

“Saya lihat mereka ini terlalu memperjuangkan bangsa, bahasa dan sekolah mereka (SJK) sampai lupa hendak memperkasakan agenda kebangsaan di tempat tersebut,” katanya yang dipetik daripada ProjekMMO.

Minggu lalu, pengumuman Ridhuan keluar daripada MCA mengejutkan pelbagai pihak yang tidak tahu beliau sebenarnya adalah ahli seumur hidup parti komponen BN itu.

Beliau mengambil langkah itu berikutan tindakan MCA membantah usaha Presiden PAS membentang Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 pada 26 Mei lalu.

“Ultra kiasu terdapat di mana-mana, bukan sahaja dalam DAP, bahkan dalam parti-parti lain, termasuk parti komponen BN, yakni mereka yang menolak agenda kebangsaan dan perlembagaan,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.