Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar.
Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang juga ADUN Tanjung Datu mengetuai istiadat angkat sumpah diikuti menteri kabinet negeri dan ADUN lain di bangunan baru DUN Sarawak hari ini.
Mohd Asfia dalam ucapannya selepas itu mengucapkan tahniah kepada semua ADUN yang telah memenangi kerusi masing-masing serta anggota yang dilantik menganggotai kabinet negeri baru-baru ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada BN Sarawak yang diketuai Adenan kerana berjaya memenangi PRN Sarawak dengan cemerlang.
Esok akan bermula Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama DUN Sarawak Ke-18 hingga 15 Jun ini dan bakal dirasmikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.
Mohd Asfia berkata, istiadat perasmian itu akan bermula dengan perbarisan dan kawalan kehormat pada jam 9 pagi esok.
Pada PRN baru-baru ini, BN kekal menerajui Sarawak dengan memenangi 72 kerusi DUN yang dipertandingkan, DAP (7) dan PKR (3).
Seramai 29 ADUN Sarawak itu adalah muka baru, termasuk 11 untuk kawasan DUN baru hasil pelaksanaan persempadanan semula kawasan pilihan raya daripada 71 DUN ke 82 DUN oleh Suruhanjaya Pilihan Raya tahun lalu.
– BERNAMA
