Bagaimanapun beliau berkata Ahmad Bashah perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk mendapat rawatan sepenuhnya daripada pakar perubatan dan kini berada dalam keadaan sedar serta stabil.
“Pasukan perubatan sedang berusaha pulihkan keadaan. Dalam sehari dua ini jika keadaan normal, beliau akan dimasukkan ke wad biasa untuk pemeriksaan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Kedah Medical Centre di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Bashah dikejarkan ke KMC selepas pitam ketika menghadiri mesyuarat bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah di Hotel Grand Alora kira-kira pukul 7 petang semalam, sebelum dikejarkan ke KMC pada 7.15 petang.
Ditanya tempoh Ahmad Bashah bercuti, beliau berkata tiada tempoh ditetapkan untuk menteri besar bercuti kerana ia bergantung kepada keadaan kesihatan beliau.
Bakar tidak menolak kemungkinan menteri besar keletihan disebabkan jadual program yang padat yang memerlukan beliau untuk turun padang bersama rakyat.
“Menteri besar dari semalam sudah sedar, beliau tidak jatuh (pitam) pun, cuma viral di media sosial cerita macam-macam, pakar sedang buat penelitian cuma beliau masih dalam ICU,” katanya, dan meminta semua rakyat mendoakan kesejahteraan Ahmad Bashah.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak melawat Ahmad Bashah buat masa sekarang bagi memberi ruang kepada beliau untuk berehat secukupnya.
Ditanya sama ada menteri besar akan menjalani pembedahan, beliau berkata tahap kesihatan Ahmad Bashah ketika ini tidak memerlukan beliau untuk menjalani pembedahan, namun ini bergantung kepada keputusan pakar perubatan.
Mengenai aspek pentadbiran negeri, Bakar berkata pentadbiran negeri akan berjalan seperti biasa dibantu exco kanan dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.
Hanya mesyuarat exco yang sepatutnya dipengerusikan Ahmad Bashah yang terpaksa ditangguhkan, katanya.
