Oleh Dominic Chia
Ekoran daripada kematian allahyarham Datuk Noriah Kasnan dan allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il dalam nahas helikopter di Sarawak, SPR mengumumkan PRK di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak akan diadakan serentak pada 18 Jun 2016.
Menurut SPR lagi, penamaan calon bagi PKR kembar ini akan diadakan pada 5 Jun 2016, manakala pengundian awal pula pada 14 Jun 2016. Menurut penganalisis politik tempatan, PRK kembar ini bagaikan ujian kertas litmus bagi PRU14 yang akan datang.
Pembangkang yang semakin lemah
Hubungan antara parti pembangkang yang semakin renggang, secara tidak langsung akan memberi kelebihan kepada BN untuk meraih undi lebih berbanding mereka di Sungai Besar dan Kuala Kangsar nanti. Baru-baru ini, rebutan kerusi antara DAP dan PKR di Sarawak menunjukkan hubungan antara mereka yang semakin parah. Malah ia juga mencerminkan kepentingan diri mereka melebihi kepentingan rakyat di Sarawak. Sikap kedua-dua parti pembangkang ini menerima kritikan hebat bukan saja daripada penyokong BN tetapi juga penyokong tegar pembangkang.
Pada tahun lalu, PAS mengakhiri tahaluf siyasi dengan DAP kerana kedua-dua parti pembangkang tersebut gagal menemui kata sepakat berhubung hukum hudud. DAP melarang sama sekali pelaksanaan hukum hudud di negeri di bawah kuasa pembangkang. Manakala, PAS berpendirian tegas untuk melaksanakan hukum tersebut di negeri di bawah kuasanya, Kelantan.
Setelah insiden ini, sebahagian pemimpin PAS yang bersikap progresif keluar PAS dan menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang diketuai Mat Sabu.
Faktor utama mereka menubuhkan AMANAH: keengganan PAS bekerjasama dengan DAP. Sebaliknya pada 16 Mac 2016, PAS secara rasmi mengumumkan hubungan politiknya dengan parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang diterajui Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Dengan terjalinnya kerjasama kedua parti politik ini, maka tertubuhlah blok politik ketiga dalam arena politik negara ini. Dua blok politik yang lain ialah BN dan Pakatan Harapan.
Keputusan PRU lalu
Jika kita melihat keputusan PRU13 bagi Sungai Besar, Noriah memenangi kerusinya dengan undi majoriti sebanyak 399 menewaskan pesaingnya Mohamed Salleh M Husin (PAS). Manakala allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il pula menang di Kuala Kangsar dengan undi majoriti 1082 mengalahkan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon bebas, Datuk Kamilia Ibrahim, dalam perlawanan 3 penjuru.
Namun, dengan berpecahnya barisan pembangkang, dan hubungan antara mereka yang semakin lemah, PRK kembar pada 18 Jun ini bakal menyaksikan perlawanan 3 penjuru atau lebih. Ia seterusnya dijangka akan memberikan kelebihan kepada BN untuk meraih undi lebih berbanding parti pembangkang lain.
Menurut Zin Mahmud, pengarang Dewan Bahasa dan Pustaka dan penganalisis politik, pengundi yang menolak BN akan berpecah antara Pakatan Harapan dengan blok politik baharu, PAS dan Ikatan. Dengan perpecahan undi ini, dipercayai calon BN akan dapat meraih bilangan undi lebih daripada setiap parti yang bertanding.
Kemenangan BN di PRN Sarawak baru- baru ini merupakan contoh terbaik di mana kebanyakan kawasannya menyaksikan perlawanan 3 penjuru yang menguntungkan BN daripada segi penambahan bilangan undi majoriti berbanding PRN lalu. Natijahnya, BN menang besar sungguhpun terdapat usaha pembangkang untuk memburukkan imej BN dengan isu GST dan skandal 1MDB di bumi Kenyalang Itu.
Justeru, pembangkang mendakwa tindakan kerajaan negeri Sarawak menyekat kemasukan beberapa pemimpin penting pembangkang ke Sarawak serta amalan politik wang BN yang meluas, menyebabkan kekalahan teruk Pakatan Harapan di Sarawak.
Perebutan kerusi antara PKR dan PAS
Bagi mengeruhkan lagi keadaan MB Selangor Datuk Seri Azmin Ali menggesa PAS untuk memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di Sungai Besar, Selangor. Namun, PAS tetap dengan pendiriannya untuk bertanding dengan mencalonkan ADUN Meru Dr Abd Rani Osman di Sungai Besar. Malah, AMANAH dipercayai akan menamakan pengarah strategik parti tersebut Dr Dzulkefly Ahmad untuk turut berentap di Sungai Besar bagi menebus kekalahan teruk di PRN Sarawak baru-baru ini.
Sementara itu, dijangka situasi di Kuala Kangsar seakan-akan sama dengan di Sungai Besar. Di mana, PAS dan PKR tetap akan berebut dengan BN untuk memenangi kerusi di sana. AMANAH juga akan turut bersaing untuk memenangi kerusi parlimen di Kuala Kangsar.
Undi simpati
Memandangkan kedua-dua kawasan yang bakal menyaksikan PRK kembar ini milik pemimpin BN sebelum ini, dan rekod mereka adalah antara yang baik, sesiapa saja yang dicalonkan berpeluang meraih undi simpati yang banyak.
Oleh itu, calon BN bagi Sungai Besar, ADUN Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi dan calon BN bagi Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid yang juga isteri allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il pastinya akan mempunyai kelebihan berbanding calon daripada parti lain, untuk memenangi kerusi di kedua-dua kawasan tersebut.
Ujian kertas litmus
Hubungan antara parti komponen Pakatan Harapan serta parti pembangang lain yang semakin merosot merupakan platform terbaik bagi BN untuk mengatur strategi bagi kemenangan mereka dalam PRU14. Kemenangan ini mampu dicapai oleh BN sungguhpun imejnya tercemar dengan pelbagai isu.
Sementara itu, para penganalisis politik berpendapat PRK kembar pada 18 Jun 2016 ini satu ujian kertas litmus terbaik bagi parti politik sama ada BN atau barisan pembangkang, untuk menilai kedudukan mereka berhubung PRU14 nanti.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT