ADUN Tanjung Bungah ajar cara asing sisa pepejal

ADUN Tanjung Bungah ajar cara asing sisa pepejal

Klip video selama 8 minit 22 saat itu dirakamkan dalam bahasa Melayu yang turut disertakan sari kata berbahasa Cina dan Inggeris.

Teh-Yee-Cheu_kitar-semula_600

PETALING JAYA:
Susulan pelaksanaan pengasingan sisa pepejal yang bermula 1 Jun lalu di tujuh negeri, ADUN Tanjung Bungah mengambil inisiatif untuk mengajar orang ramai cara mengasingkan sampah menggunakan satu rakaman video.

Menurut laporan China Press, Teh Yee Cheu yang mempunyai gelaran “ADUN perlindungan alam sekitar” telah merakamkan satu klip video berbahasa Melayu yang disertakan sari kata berbahasa Cina dan Inggeris.

Rakaman video selama 8 minit 22 saat itu yang dimuat naik ke Facebook oleh Majlis Hijau Pulau Pinang (PGC) pada petang semalam telah ditonton 7,900 kali dan dikongsi sebanyak 217 kali.

Dalam rakaman video itu, beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah PGC membahagikan sisa pepejal kepada dua kategori, iaitu boleh dikitar semula seperti kertas, plastik dan aluminium serta barang-barang yang tidak boleh dikitar semula seperti sisa makanan, organik dan sampah.

Menurutnya, sisa makanan boleh dijadikan kompos dan perlu disimpan dalam tong plastik yang ditutup dengan baik bagi mengelakkan rumah dipenuhi bau busuk.

Sisa pepejal lain yang tidak boleh dikitar semula perlu dimasukkan ke dalam tong sampah yang dilapik dengan beg plastik hitam.

Yee Cheu kemudiannya menguruskan sisa pepejal boleh dikitar semula seperti botol plastik dan tin aluminium dimasukkan dalam satu beg guni.

Bagi kertas-kertas pula, beliau menyimpannya dalam sebuah kotak.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak mencampur peralatan elektronik, bateri dan barangan kaca dengan sisa pepejal lain, sebaliknya ia perlu dihantar ke pusat kitar semula.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya membilas atau membersihkan kotak minuman serta polistirena terlebih dahulu sebelum diasingkan mengikut kategori masing-masing.

Bermula Rabu lalu, penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Johor wajib mengasingkan sisa pepejal di punca atau mereka akan dikompaun.

Penyewa atau pemilik premis bertanah boleh didenda RM50 bagi kesalahan pertama, RM100 (kesalahan kedua) dan RM500 (kesalahan ketiga), manakala bagi premis bertingkat, denda dikenakan masing-masing ialah RM100, RM200 dan RM500.

Denda maksimum sehingga RM1,000 boleh dikenakan kepada mereka yang melanggar Akta 672 Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

https://www.facebook.com/pggreencouncil/videos/1012562812132510/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.