Hudud: Letak jawatan kalau tak faham isu – Armand

Hudud: Letak jawatan kalau tak faham isu – Armand

EXCO Pemuda Umno itu berkata mungkin pemimpin bukan Islam terbabit lupa Perlembagaan yang terang termaktub Islam sebagai agama persekutuan.

hudud armand

PETALING JAYA:
“Kalau hendak letak jawatan, letaklah.”

Itu saranan EXCO Pemuda UMNO Armand Azha Abu Hanifah susulan ada pemimpin bukan Islam dalam parti komponen BN mengugut mahu letak jawatan sekiranya usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 diluluskan.

Armand berkata mereka juga mungkin terlupa tanggungjawab sebagai pemimpin selain tidak faham tentang isu berkenaan.

“Apa masalah presiden beberapa parti komponen BN dengan isu RUU Mahkamah Syariah yang akan dibentangkan di Parlimen sehingga mereka mengugut hendak meletakkan jawatan.

“Mungkin mereka lupa Perlembagaan yang sudah terang termaktub Islam sebagai agama persekutuan. Mungkin mereka lupa ketika mereka mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri dan shli Parlimen kepada Agong selaku ulul amri atau ketua agama dalam negara untuk mempertahankan Perlembagaan.

“Mereka tidak paham apa yang dibicarakan,” katanya kepada Astro Awani.

Hujung minggu lalu, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam mengugut meletakkan jawatan daripada Kabinet jika RUU itu diluluskan di Parlimen.

Armand berkata pemimpin berkenaan perlu faham Usul Pindaan Akta 355 Bidang Kuasa Mahkamah Syariah itu sendiri yang bukan bertujuan mewujudkan undang-undang baharu.
RUU itu pada awalnya disenaraikan sebagai agenda terakhir yang akan dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat sehingga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan ia dipercepatkan supaya sempat dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudian memohon pembentangan RUU itu ditangguhkan sehingga sidang Parlimen berikutnya pada Oktober untuk dibahaskan.

Jika RUU itu diberi lampu hijau daripada Dewan Rakyat, ia akan membuka laluan kepada PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.