Pegawai veterinar ke penjara akibat tampar isteri

Pegawai veterinar ke penjara akibat tampar isteri

Hakim berkata, tertuduh tidak patut menampar isterinya apatah lagi di hadapan anak-anaknya.

tampar-isteri
BUKIT MERTAJAM: Seorang pegawai veterinar dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM2,000 atas kesalahan menampar isterinya dalam sebuah lif hospital swasta tiga tahun lalu.

Mohamad Affandi Ismail, 39, didapati bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isteri pertamanya, Siti Khadijah Ahmad Ramli, 40, yang merupakan seorang pekerja kilang.

Majistret, Mohd Fitri Sadardin ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Tidak patut untuk tampar isteri anda. Anda lakukan di hadapan anak-anak anda sendiri yang juga tidak boleh diterima,” kata Fitri.

Affandi didakwa sengaja mencederakan Khadijah di Hospital KPJ Hospital di Bandar Perda kira-kira jam 4 petang 12 Ogos 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliza Md Zain manakala R Palaniappan mewakili tertuduh.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.