Beliau dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dipanggil untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh berhubung siri perhimpunan yang diadakan di hadapan Penjara Sungai Buloh pada 12 Februari hingga 6 Mac tahun lalu.
“Saya tak faham kenapa (baru panggil). Ini kes tahun lepas, saya harap selepas ini tiada panggilan susulan untuk kes ini.
“Malah sejumlah lagi wakil rakyat yang akan disoal siasat untuk kes ini, antaranya Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah, Tian Chua (Batu) dan Abdullah Sani (Kuala Langat),” katanya dalam sidang media di hadapan IPD Sungai Buloh.
Beliau dipanggil sebagai saksi, manakala Nurul Izzah sebagai suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memberikan notis kepada polis sepuluh hari sebelum perhimpunan diadakan.
Nurul Izzah juga mengecam tindakan kerajaan yang menurutnya telah membazirkan masa dan tenaga polis untuk menakutkan mereka.
Beliau mendakwa tujuan utama siasatan hanyalah untuk wujudkan rasa takut kepada pihak yang menyuarakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diisytiharkan sebagai tahanan politik oleh PBB.
“Sementara kita faham polis hanya menjalankan tugas, kita juga mengecam kerajaan yang membuang masa polis yang cukup bernilai, yang sepatutnya digunakan untuk menyiasat kes-kes jenayah,” katanya lagi.
Siri perhimpunan tersebut dilakukan selepas Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengenepikan sabitan dalam kes meliwat bekas pembantu peribadi Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Nurul Nuha Anwar turut dipanggil untuk memberikan keterangan namun dia tidak hadir kerana sedang sarat mengandung.
Nurul Izzah berkata beliau akan menyerahkan dokumen perubatan adiknya itu kepada polis agar beliau tidak perlu memberi keterangan.
“Adik saya sudah mengandung 40 minggu. Saya tak fikir polis boleh mengendalikan proses kelahiran jika apa-apa berlaku,” katanya berseloroh.
