ADUN Kedah, 2 lelaki didakwa cederakan pasangan

ADUN Kedah, 2 lelaki didakwa cederakan pasangan

'Hang tak kenal lagi aku siapa,' kata ADUN itu menurut lelaki yang mendakwa dicederakannya

video

PETALING JAYA :
Seorang lelaki mendakwa dirinya dan teman wanita dicederakan seorang ADUN Kedah dan dua orang lelaki.

Menurut lelaki itu, kejadian berlaku ketika dia sedang memandu kereta untuk keluar daripada pusat beli belah Aman Central, pada 15 Mei jam 5.45 petang.

Sebaik sahaja masuk ke lorong tengah ke lampu isyarat di hadapan Aman Central, tiba-tiba sebuah Toyota Harrier yang dinaiki oleh ADUN Kedah yang berusia sekitar 50-an dan dua lelaki berusia 20-an bergerak ke sebelah kiri kenderaannya dan membunyikan hon.

“Sewaktu itu, lampu isyarat berwarna merah. Kemudian pemandu kereta tersebut telah menurunkan tingkap keretanya dan berkata ‘kenapa, kenapa..hang tak kenal lagi aku siapa’ berulang kali kepada saya dan meminta saya turun dari kenderaan saya,” kata lelaki itu.

Dia memilih untuk tidak turun daripada kenderaannya tetapi lupa pintunya tidak berkunci.

“Kemudian lelaki 50-an dari kereta tersebut telah turun dari keretanya dan membuka pintu kereta saya dan menarik kunci kereta saya. Lelaki 50an telah menumbuk saya di bahagian mulut saya. Akibat dari itu, mulut saya mengalami luka.

“Kemudian lelaki 50-an tersebut telah menarik tangan saya untuk keluar dari kereta dan apabila saya keluar dari kereta saya telah menumbuk lelaki 50-an tersebut,” dakwanya.

Tambahnya lagi, selepas itu dua orang lelaki 20-an daripada kereta terbabit datang kepadanya dan mereka bertiga bertindak memukulnya.

“Teman wanita saya telah dari kereta saya dan cuba meleraikan pergaduhan di antara kami. Tetapi teman wanita saya juga telah di tarik dan di tumbuk di bahagian dada, tangan kanan dan kiri.

“Datang orang ramai untuk meleraikan pergaduhan tersebut. Kemudian kereta tersebut terus beredar dari tempat kejadian. Saya telah membawa teman wanita saya ke KMC Alor Star, Kedah kerana telah mengalami sesak nafas yang sangat teruk,” jelasnya.

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian itu dan pihaknya masih melakukan siasatan untuk mengenal pasti identiti individu yang didakwa oleh lelaki itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan telah dibuka pada tarikh kejadian.

FMT cuba menghubungi ADUN yang dituduh lelaki itu tetapi tidak berjaya.

Video Link

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.