ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee menepis laporan media yang melaporkan kemelut Menteri Besar Terengganu kembali hangat apabila Datuk Seri Najib Razak didakwa mengadakan perjumpaan tertutup dengan pimpinan UMNO negeri sempena lawatan rasmi 23 Mei lalu.
Katanya, sepanjang lawatan Najib ke Terengganu dua hari lepas tidak ada sebarang pertemuan tertutup dibuat, apatah lagi mengadakan perbincangan untuk menukar Ahmad Razif Abd Rahman sebagai Menteri Besar.
“Tidak ada perjumpaan tertutup dengan Perdana Menteri sepanjang lawatannya ke Terengganu,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Ahmad Razif menerusi laporan media semalam berkata, isu pertukaran Menteri Besar sudah berakhir dan sekarang beliau ingin fokus kepada tugas mentadbir negeri.
Beliau dalam masa sama turut memetik ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meminta semua kepimpinan UMNO negeri dan ketua jabatan menghentikan spekulasi siapa pengganti Menteri Besar Terengganu.
Ahmad Razif berkata, Najib sebagai perdana menteri dan presiden UMNO dengan jelas memberi pengiktirafan kepadanya sebagai Menteri Besar dan yakin kemelut di Terengganu sudah berakhir.
