Lantik Peguam Negara tanpa perlu nasihat PM

Lantik Peguam Negara tanpa perlu nasihat PM

Bekas CEO MAS, Abdul Aziz Abdul Rahman berkata amalan melantik Peguam Negara dan lembaga SPR atas nasihat PM telah mengundang keraguan

Attorney-General (AG)

SHAH ALAM:
Peguam Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman mencadangkan kerajaan supaya mencari kaedah melantik Peguam Negara tanpa perlu saranan daripada Perdana Menteri.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS yang berusia 81 tahun itu berkata amalan sedia ada, iaitu perlantikan Peguam Negara oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri telah mengundang keraguan dalam sebahagian pihak.

“Kalau ikut sekarang orang ramai tidak percaya dah,” katanya di wacana ‘Siapa lebih berkuasa: Pentadbir atau ahli politik?’ anjuran media Sinar Harian hari ini.

Malah, beliau seterusnya mencadangkan perlantikan ahli-ahli dan lembaga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibuat secara bebas daripada campurtangan kerajaan.

“Ahli-ahli dan lembaga dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong jangan ada kena mengena dengan kerajaan, itu sahaja saya nak, kalau dia tidak buat ini orang tidak yakin,” ujarnya.

Sebahagian pihak, termasuk pembangkang dan pemerhati pilihan raya, pernah menuduh SPR tunduk kepada pengaruh perikatan pemerintah.

Abdul Aziz, yang meninggalkan MAS pada 1990 untuk meneruskan kerjaya sebagai peguam berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada para hadirin yang bertanyakan mengenai persepsi bahawa ahli politik menggunakan pentadbir demi kepentingan sendiri

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dan bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir yang dijemput menyertai wacana itu turut bersetuju dengan saranan Aziz.

Adam berkata ahli politik dan pentadbir sepatutnya menggunakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka untuk kebaikan semua, bukannya untuk kelompok tertentu.

“Kalau yang atas bermasalah itu kita perlu perbetulkan, sebab itu bapak jangan kencing berdiri, ini soal falsafah ini,” tegasnya.

Rahim pula berkata pentadbir atau kakitangan awam haruslah menghormati dan mematuhi undang-undang negara.

Menurut beliau, ada pemisahan kuasa dalam undang-undang tanahair tetapi ia akan menjadi tidak bermakna jika tidak dihormati.

“Saya sokong cadangan Tan Sri Aziz sebab Jabatan Peguam Negara ini ada kaitan dengan undang-undang. Jawatan Peguam Negara itu sangat penting sebab dari dia, akan turun kepada Ketua Polis Negara,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.